Isa Samad Pengerusi Felda; NKRA Najib Memerangi Rasuah??

687

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/12/isa%20samad$1.JPGParti Islam Se-Malaysia PAS menyifatkan perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda, berkuat kuasa 1 Januari 2011, sebagai satu lagi pencapaian  Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilancarkan pada 20 Januari 2010. Antara NKRA telah diputuskan oleh Kabinet ialah membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

PAS berasa hairan Perdana Menteri yang terkenal dengan berbagai-bagai  slogan retorik, untuk membuat  pembaharuan (transformasi), tiba-tiba boleh melantik Tan Sri Isa Samad yang pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh  Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail. Beliau  telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun.

Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan. Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi. Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd. Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan September tahun 2004.

Pemilihan ini menggambarkan Datuk Seri Najib seolah-olah tidak nampak di kalangan ahli umno seramai 3.5 juta orang, melainkan beliau hanya nampak insan yang bernama Tan Sri Isa Samad sahaja. Apa rahsianya beliau dipilih hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu.

Perlantikan ini menggambarkan inilah watak sebenar Datuk Najib dalam hal memerangi rasuah. Memang kita jarang kedengaran Presiden Umno sekarang ini bercakap tentang memerangi rasuah secara agresif, berbanding dengan zaman Tun Abdullah, walaupun  nampak lembut, sekurang-kurangnya zaman Tun Abdullah ada juga daya usaha menubuh Institut Integriti Malaysia, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Patutlah usaha untuk memerangi rasuah tidak berjaya, malahan semakin parah.  Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat