Imran Khan Tidak Dihalang Bertanding Dalam Pilihan Raya

1424

Mahkamah Pakistan pada Isnin memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya negara tidak boleh menghalang bekas Perdana Menteri Imran Khan daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya pada masa hadapan.

“Imran Khan boleh bertanding mana-mana pilihan raya pada masa hadapan,” kata hakim tertinggi Mahkamah Tinggi Islamabad.

Ketua Hakim Negara Athar Minallah juga menolak permintaan peguam Imran, Ali Zafar untuk perintah penangguhan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya, yang sebelum itu, melucutkan kelayakan Imran sebagai Ahli Parlimen.

Peguam Khan berkata anak guamnya mahu bertanding dalam pilihan raya kecil yang dijadualkan pada 30 Oktober di daerah Kurram di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Bagaimanapun, ketua hakim negara berkata tiada sekatan ke atas Khan dan dia boleh bertanding kerana dia telah hilang kelayakan hanya daripada kerusi semasanya di parlimen.

.Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan melucutkan kelayakan Khan kerana gagal mendedahkan hadiah yang diterimanya semasa berkhidmat sebagai perdana menteri negara itu.

Panel lima anggota Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan, diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya Sikandar Sultan Raja, mengeluarkan keputusan sebulat suara mengisytiharkan Imran disingkirkan daripada parlimen.

Menurut keputusan itu, Imran sepatutnya menghadapi pertuduhan jenayah kerana menyembunyikan butiran hadiah yang diterimanya dari negara berbeza sepanjang tempoh lebih tiga tahun sebagai perdana menteri.

Mantan PM itu telah mengadakan beberapa siri perhimpunan antikerajaan sejak penyingkirannya daripada kuasa dalam undi tidak percaya di parlimen pada April.

Pilihan Raya Umum Pakistan dijadualkan berlangsung pada akhir tahun depan.