Ikhtiar Kurangkan Pergantungan Hasil ‘Emas Hitam’

124

Kerajaan PAS-PN Terengganu telah mengenalpasti beberapa ikhtiar ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum semata-mata.

Menurut Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Darul Iman sedang mengorak beberapa langkah drastik bagi tujuan berkenaan.

Antaranya, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif membangunkan industri hidrogen hijau yang mampu menjadi sumber pendapatan baharu.

Sarawak yang terlebih dahulu memacu ekonomi sumber gas itu dilaporkan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Terengganu.

Usaha kolaborasi itu bagi mengupayakan negeri ini dapat mendalami serta meneliti inisiatif yang digerakkan oleh Sarawak.

Samsuri mendedahkan kepada media hal itu ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 bertempat di Istana Syarqiyyah baru-baru ini.

Justeru, semua usaha kearah merealisasikan objektif tersebut, sedang digarap termasuk perbincangan bersama pakar dari Korea Selatan dalam bidang berkaitan.

Oleh itu, walau pun buat masa ini, negeri ini masih bergantung kepada hasil Petroleum, perancangan baharu dapat mengurangkan risiko kebergantungan terhadap hasil ’emas hitam’ dan gas.

Karenah politik persekutuan menyebabkan Terengganu hanya menerima bayaran dana khas (wang ehsan) berjumlah RM405 juta dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 dengan enam kali pembayaran.

Jumlah yang diterima Terengganu itu adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022.