Hukuman Sebat Ditempat Awam Diperhalusi

91

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu sedang membuat pertimbangan terhadap cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah di tempat awam

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beberapa prosedur perlu diperhalusi sebelum pelaksanaan hukuman Syariah yang telah dilaksanakan dibeberapa negara, termasuk Aceh.

“Benda itu dalam proses dan kita akan tengok daripada semasa ke semasa. Buat masa sekarang ini ia (hukuman sebat) akan dilaksanakan di tempat yang tertutup di dalam penjara.

“Kita akan pertimbangkan untuk di buat di tempat awam. Sebenarnya kalau kita tengok daripada semangat sedia ada atau roh hukuman ke atas orang yang melakukan jenayah dalam undang-undang jenayah syariah ini, ia mesti dilaksanakan di khalayak ramai.

“Cuma khalayak ramai itu adalah subjektif. Adakah khalayak ramai itu di tengah kawasan umum macam pasar, masjid atau apa-apa sahaja. Kalau dilaksanakan dalam penjara sendiri pun sebenarnya disaksikan oleh khalayak yang tertentu juga,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri itu berkata demikian ketika ditemui semalam.

Katanya, ketika ini ia tertakluk kepada enakmen sedia ada dan sebarang penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa.

“Jadi di atas dasar itu kita laksanakan dulu apa yang tersedia ada, apapun untuk penambahbaikan kita akan lihat daripada semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri dalam usaha untuk meningkatkan lagi dari sudut pemerkasaan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Terengganu, ” jelasnya.