Oleh : Rohayati Ripin
BESUT – Hud-Hud moden menjadi pemacu komunikasi strategik PAS dalam memastikan sebaran penerangan berkesan, memenangi hati rakyat dan menangkis naratif palsu pihak lawan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Ketua Penerangan PAS Marang Mohamad Aswadi bin Mohamad berkata, medan komunikasi kini menjadi gelanggang utama pertembungan politik moden tidak hanya berlaku di peti undi, tetapi terlebih dahulu di ruang persepsi rakyat melalui media sosial, media massa dan alam siber.
“Dalam era ini, persepsi adalah realiti. Kita mesti menjadi hud-hud moden, pembawa berita yang benar dengan strategi berkesan agar mesej perjuangan Islam sampai dengan jelas dan menyentuh hati masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan tajuk Komunikasi Strategik dan Sebaran Penerangan di Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu 2025, Ijtimak kepimpinan PAS negeri Terengganu di Kota Putera Square, Kampung Raja, pada hari ini.
Menurutnya, PAS berjaya melakukan lonjakan besar dalam komunikasi digital pada PRU15 melalui penguasaan media sosial, penyebaran video pendek, infografik dan siaran langsung, yang terbukti memberi kesan kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar.
Beliau menegaskan, menjelang PRU16, PAS perlu memperkukuh jentera penerangan di semua peringkat dengan latihan komunikasi, penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk penghasilan kandungan, memperluas kerjasama dengan NGO dan influencer digital, serta memastikan setiap pimpinan parti mempunyai kehadiran aktif dan berstrategi di media sosial.
“Turut menzahirkan penghargaan kepada petugas media akar umbi yang digelar ‘wira tanpa nama’ kerana berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi memastikan suara kebenaran sampai kepada rakyat tanpa mengharap sebarang imbuhan.
“Komunikasi strategik ini bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi membentuk minda ummah ke arah nilai Islam yang syumul. Kita mesti terus istiqamah membawa naratif yang benar dengan strategi dan hikmah,” tegasnya.