Hubungan Kerajaan Negeri Dan Pusat, Baik

123

HULU TERENGGANU – Hubungan Kerajaan Persekutuan dan negeri ini terjalin baik dan berlansung dalam keadaan harmoni, tidak tergugat dan tiada timbul masalah walaupun tidak selari teraju parti yang memerintah.

Yang Dipertua PAS Hulu Terengganu, YB Ustaz Maliaman Kassim berkata hubungan baik diantara kedua belah pihak akan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama dalam memastikan kebajikan rakyat terbela serta sentiasa berada dalam keadaan harmoni.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menambah, kehadiran Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang amat bermakna kepada kerajaan negeri.

“Kehadiran Menteri Perpaduan Negara hari ini telah dapat menceriakan masyarakat di sini melalui Program Komuniti Rahmah bersama Jentera Perpaduan Negeri Terengganu, terima kasih yang tidak terhingga.

“Kolaborasi ini mencerminkan hubungan kerajaan negeri dan pusat tidak pernah terjejas dan masih dapat bersatu padu demi kebaikan rakyat Malaysia yang memiliki perbezaan agama, kaum dan budaya.

“Dengan jalinan kerjasama ini diharap akan berterusan untuk menjaga keharmonian supaya tiada berlaku pergeseran yang boleh mengakibatkan kerugian dan berlakunya rusuhan yang tiada sepatutnya berlaku di negara mahupun negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Komuniti Rahmah Bersama Jentera Perpaduan Negeri Terengganu, di Dewan NGO, Kampung Pengkalan Ajal, di sini, semalam.

Dalam pada itu Maliaman berkata selama ini di negeri Terengganu walaupun didominasi oleh Melayu islam namun kalangan golongan bukan Islam dapat hidup dengan aman damai dalam satu komuniti di negeri ini.

“Di Terengganu, tidak pernah berlaku masalah perkauman justeru semua rakyat dapat hidup bersatu menjayakan pelbagai aktiviti komuniti,” ujarnya.

Sementara itu, Aaron berkata hari ini merupakan lawatan sulungnya ke negeri ini.

“Saya ingin rakamkan jutaan terima kasih kerana Kelab Rukun Tetangga Kampung Pengkalan Ajal telah sudi menjadi tuan rumah bagi Program Komuniti Rahmah.

“Program ini adalah merupakan kluster ketiga di bawah program flagship kementerian iaitu Kembara Pepaduan Melaysia MADANI yang telah duilancarkan pada 1 Mac 2023, selain daripada kluster Semarak Kenegaraan dan Semarak Perpaduan.

“Dirangka bagi membina komuniti yang sejahtera, mampan dan rahmah khususnya dalam KRT yang menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan dengan saling menghormati, mengasihi dan menghargai melalui penggemblengan usaha serta tenaga semua pihak,” ujarnya.

Dalam program berkenaan, Menteri Perpaduan Negara itu telah turut menyampaikan sumbangan 150 kotak rahmah kepada keluarga yang terlibat dengan musahah banjir di Pengkalan Ajal dan ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kementerian kepada Komuniti Rukan Tetangga.