HPU Peringkat Terengganu 25 Oktober

1536

KUALA TERENGGANU – Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringkat Negeri Terengganu kali pertama akan diadakan di Stadium Negeri di sini, jam 8.15 malam, 25 Oktober ini.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, HPU itu menampilkan enam pemimpin tertinggi kedua-dua parti Melayu Islam terbesar negara termasuk dari PAS dan UMNO.

Katanya, mereka terdiri dari Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden PAS, Ustaz Haji Idris Ahmad, Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Terengganu, Senator Dato’ Haji Husain Awang dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

wan sukairi
Menurut Ustaz Wan Sukairi lagi HPU ini adalah himpunan kerjasama (Ta’awun) pertama peringkat negeri selepas termetrai Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS di HPUPeringkat Kebangsaan (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, 14 September lalu.

Sebelum itu katanya, satu mesyuarat bersama yang pertama peringkat kedua-dua perhubungan parti itu telah diadakan di sini antara lain mengatur langkah merealisasikan piagam Muafakat tersebut di peringkat negeri Terengganu.

“Inilah program pertama diatur menghimpunkan pimpinan tertinggi kedua-dua parti secara rasmi di peringkat negeri Terengganu selepas HPU914,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, menyeru semua ahli dan penyokong kedua-dua parti itu hadir beramai-ramai bagi mendengar amanat yang akan disampaikan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan.