Hospital Dungun Ditangguh Lagi

1875

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/Hhospitaldungun.jpgKUALA TERENGGANU – Pembinaan hospital baru bagi menggantikan Hospital Dungun yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini terpaksa ditangguhkan ke Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar berkata, ini berikutan peruntukan bagi pembinaannya masih belum diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan negeri mengklasifikasikan projek tersebut sebagai keperluan yang amat mendesak dan berharap permulaan RMK-10 dapat memberi keutamaan kepada projek tersebut,” katanya dipetik Utusan Online.

(Gambar – Hospital Dungun sekarang)

Beliau berkata demikian berikutan rungutan orang ramai terhadap kemudahan di Hospital Dungun yang tidak lagi praktikal kerana ia dibina berdasarkan keperluan penduduk pada sekitar 60-an.

Hospital Dungun yang mengandungi empat wad dengan 100 katil pesakit dibuka secara rasmi pada 26 Mac 1967 dan kini menyediakan perkhidmatan kepada lebih 160,000 penduduk di daerah itu.

Hospital yang terletak di pusat bandar itu kini semakin sesak dan tidak dapat menampung keperluan pesakit.

Menurut Abdul Rahman, urusan pengambilalihan dan pembayaran sebidang tanah di Kampung Che Lijah sebagai tapak pembinaan hospital baru telah selesai dilakukan.