Himpunan Tolak LGBT; 1000 Orang Dijangka Hadir

2306

Oleh : Qaseh Ramadhan (RR)

KUALA TERENGGANU – Seramai 1000 orang dijangka hadir pada Himpunan Tolak Lesbian, Gay, Biseksual, transgender (LGBT) yang akan diadakan pada hujung minggu ini.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Terengganu, Maznah Muftahuddin berkata ia akan diadakan Pantai Batu Buruk dan menyeru orang ramai turut menyatakan hasrat supaya kerajaan pusat bertindak lebih tegas kepada golongan tersebut.

“Hari ini kita dilambakkan dengan berbagai isu yang menyentuh sensiviti masyarakat terutama berkait dengan ideologi, budaya malah isu keagamaan yang dipersenda-sendakan.

“(Dengan) menyedari sikap dan berbagai tuntutan yang keterlaluan ini, seandainya tidak dibendung dan dibiarkan bersemarak dalam masyarakat hari ini, maka (ianya semakin teruk),” jelasnya.

Maznah Muftahuddin

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari Rabu, 13 Mac dan menambah, beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan belia dan remaja telah pun mengesahkan kehadiran mereka.

Menurutnya, terdapat juga golongan yang sanggup mencabar kesucian Islam walaupun agama tersebut membawa rahmat dan merasa bangga serta berani dengan menonjolkan tingkah laku dan budaya menuntut kebebasan diluar tabie manusia.

Jesteru itu, beliau menggesa seluruh warga Terengganu khususnya, untuk hadir beramai-ramai menyertai himpunan tersebut yang akan diadakan pada hari Jumaat, 15 Mac, bermula jam 5 petang.

Ianya bertujuan, katanya bagi membantah golongan LGBT membawa pengaruh yang tidak sihat dengan amalan cara hidup luar tabie manusia serta agama.

“Saya berharap kepada mereka yang terlibat supaya kembali kepada cara hidup beragama dan membina masyarakat yang lebih sejahtera.

“(Maka) kami terpanggil untuk mengadakan Himpunan Tolak LGBT dan menolak penghinaan terhadap Rasulullah SAW,” tambahnya.