Himpunan 100K GMP – Polis Sepatutnya Lebih Fleksibel Dan Tidak Menembak Gas

1126


Beliau berkata, pihaknya menerima cadangan tersebut sebagai langkah meneruskan usaha membantah PPSMI berterusan, sehingga ia dihentikan.

“GMP ada menerima cadangan supaya memorandum yang diserahkan hari ini kepada Yang di-Pertuan Agong turut diserahkan kepada Raja, Sultan dan Yang Dipertua Negeri masing-masing.

“Kita akan pertimbangkan cadangan ini kerana usaha GMP tidak hanya terhenti sehingga hari ini sahaja memandangkan ia hanya peringkat permulaan, ada lagi program-program lain akan menyusul selepas ini,” katanya kepada mStar Online.

Kira-kira pukul 2.30 petang tadi beliau bersama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said menyerahkan memorandum bagi menghapuskan PPSMI kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Penolong Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithanini di Istana Negara.

Beliau berkata, polis sepatutnya lebih fleksibel dan memberi peluang para penyokong GMP mengikut beliau dan rombongannya ke Istana Negara semalam untuk menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong.

“Sepatutnya polis lebih fleksibel dan beri peluang mereka ikut kami ke Istana Negara.

“Kita ke sana bukan nak buat sesuatu yang tak elok, mereka sekadar nak turut serta,” katanya ketika mengulas tindakan peserta perarakan yang merempuh halangan polis ketika perarakan himpunan 1000K semalam.

Beliau menambah, polis bertindak keterlaluan dengan menembak gas pemedih mata dan menyemburkan air kepada orang ramai yang mengikuti perarakan.

“Kalau polis tak mulakan dengan menembak sebegitu, saya tak fikir kekecohan akan berlaku kerana matlamat kita hanya nak serahkan memorandum mengenai isu bahasa,” katanya.

Sementara itu, A. Samad terus menolak tuduhan sesetengah pihak bahawa perjuangan bahasa seperti yang berlaku sekarang diperalat oleh sesetengah pihak.

“Memang ada andaian bahawa kelompok kami ini diperalat, kami sebenarnya cuba berhubung dengan Umno tapi tak begitu diendahkan.

“Jadi kalau ada parti-parti politik seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)… apa salahnya demi perjuangkan bahasa Melayu?” katanya.

Tambah beliau, Barisan Nasional (BN) tidak begitu menghiraukan permintaan mereka selama ini.

“BN hanya tahu bahasa undi, bagi mereka kalau nak ubah sesuatu kena guna undi,” katanya.

Beliau meyindir sikap beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang tetap mahu mempertahankan PPSMI supaya mereka turut bertukar bercakap menggunakan bahasa Inggeris.