KUALA TERENGGANU, – PAS Terengganu menegaskan, Kerajaan Persekutuan perlu segera menghentikan segala bentuk gangguan dan campur tangan terhadap penyaluran royalti petroleum yang merupakan hak mutlak Kerajaan Negeri dan rakyat Terengganu.
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain Awang, berkata apa yang didedahkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar jelas, bagi tahun 2024 hanya RM733 juta daripada jumlah sebenar RM1.553 bilion royalti petroleum telah dimasukkan ke dalam akaun rasmi kerajaan negeri.
“Manakala baki sebanyak RM820 juta lagi tidak disalurkan terus ke akaun negeri. Bagi tahun ini pula sehingga 2 November 2025, hanya RM583 juta daripada RM 1.08 bilion royalti dimasukkan dalam akaun Kerajaan Negeri.
“Keadaan ini dengan jelas menunjukkan bahawa 50% daripada hasil royalti petroleum milik negeri telah dinafikan haknya untuk diurus oleh Kerajaan Negeri sendiri.
“Kecurangan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak tahun 2023 lagi, penyaluran royalti petroleum kepada Terengganu sering kali diseleweng daripada saluran asal dan malangnya keadaan tersebut masih berulang hingga ke tahun ini.” tegasnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tindakan itu, tegas Dato’ Husain, bukan sahaja menyalahi semangat federalisme yang adil, malah memperlihatkan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk berlaku matang dan menghormati autonomi kewangan negeri sebagaimana termaktub dalam sistem persekutuan Malaysia.
“Situasi ini amat dikesali kerana ia memberi kesan langsung kepada momentum kemajuan negeri yang kini berada di landasan terbaik dalam sejarah moden Terengganu dan tidak pernah berlaku dalam pentadbiran UMNO sebelum ini.
“Sepanjang era pentadbiran PAS, negeri ini telah mencatat hasil negeri tertinggi iaitu kira-kira RM293 juta, pelaburan terbesar berjumlah RM21.9 bilion dari 2018-2025, serta diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia.
“Dalam masa yang sama, Terengganu turut menunjukkan potensi luar biasa dalam pemilikan sumber bumi seperti unsur nadir bumi (REE) serta sektor tenaga baharu dan boleh diperbaharui.” jelas beliau.
Kejayaan yang diraih kerajaan Terengganu, tambah beliau, bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi bukti nyata bahawa PAS mampu mentadbir dengan cekap, berintegriti dan berpaksikan kebajikan rakyat.
Oleh itu, Kata Ustaz Husain, sebarang sekatan atau gangguan terhadap hak kewangan negeri merupakan satu bentuk kezaliman yang mencabul hak rakyat serta menafikan prinsip keadilan fiskal dalam sistem federalisme negara.
“PAS Terengganu juga ingin menyeru agar rakyat di negeri-negeri lain, khususnya di Sabah, mengambil pengajaran daripada apa yang sedang berlaku di Terengganu.
“Jangan mudah terpedaya dengan kempen dan janji manis blok PH-BN menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah nanti. Hakikatnya, apa yang berlaku kepada Terengganu adalah contoh jelas pengkhianatan janji.
“Bukan sahaja janji 20% royalti petroleum tidak tepati, malah 5% yang tercatat kemas dalam akta dan perjanjian pun dibahagi dua.”tegas beliau lagi.




























