Hassan al-Banna Dalam Kenangan

4658

Tanggal 12 Februari 1949 telah meninggalkan sejarah hitam bagi gerakan Islam seluruhnya. Dunia kehilangan seorang ulama’ ulung yang mempelopori gerakan mengembalikan Islam ke puncak kegemilangannya.

As Syahid Hassan Al Banna belum sempat melihat Islam didaulatkan kembali setelah kejatuhan khilafah Othmaniyyah, tetapi beliau telah menang dalam pertarungan mendapatkan syahid. Pemergian beliau bukan secara kebetulan, tetapi ia merupakan pembunuhan kejam yang terhasil daripada perancangan musuh-musuh Islam yang berselindung di belakang Raja Faroq.

banna1aDua bulan sebelum kejadian, gerakan Islam yang diasaskan oleh As Syahid Hasan Al Banna telah diharamkan oleh kerajaan Mesir. Kesemua cawangannya di sana yang berjumlah lebih daripada 3,000 diarahkan supaya dibubarkan dan sekiranya masih beroperasi akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas.

Bukanlah suatu yang baru bagi pemimpin Mesir menjadi “pak turut” kepada negara-negara Barat. Dalam mengharamkan gerakan Islam ini, kerajaan Mesir secara jelas mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

As Syahid Syed Qutub yang berada di Amerika ketika pembunuhan Hassan Al Banna menceritakan bagaimana rakyat Amerika Syarikat berpesta apabila menerima berita kematian Hassan Al Banna.

TRAGEDI

Ketika kejadian, As Syahid Hassan Al Banna berjalan bersendirian di jalan Ramsis, Kaherah berhampiran dengan pejabat Jam’iyatus Syubbanil Muslimin (Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan , semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapa kali berulang-alik mencari “sesuatu”.

Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti di hadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.

Bagi menyempurnakan lakonan sendiwara seterusnya, Imam Al Banna dibawa ke Hospital Al Qasrul Aini. Di hospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja (Al Malik) Faroq, Imam Al Bana di tinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 53 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhn kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas imamul-jihad, As Syahid Hasan Al Banna.

hasan-al-banna2Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4/7/1949 kerajaan Al Malik Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua di jabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan.

Mereka dianugerahkan elaun khas di atas “jasa dan kesungguhan berkhidmat memastikan keamanan Negara”.

TEKANAN

Bergembiralah musuh-musuh Islam dengan kejayaan mereka membunuh pengasas gerakan Islam pertama di dunia selepas kejatuhan khilafah Othmaniyyah.

Dengan kejayaan mereka membunuh Imam Al Banna, maka bertambahlah tekanan demi tekanan ke atas pengikut-pengikut serta anak-anak murid Imam Al Banna. Mereka mencari anggota Ikhwanul Muslimun dari rumah ke rumah serta memenjarakan mereka.

Rumah As Syahid Imam Al Banna tidak terkecuali daripada pemeriksaan. Bahkan mereka mengadakan kawalan khas di sekeliling rumah berkenaan selama dua tahun. Sesiapapun tidak dibenarkan menghubungi keluarga Imam Al Banna. Sesiapa yang cuba menghubungi keluarga berkenaan akan ditangkap dan dipenjarakan.

Talian telefon di rumah berkenaan dipotong. Tidak cukup dengan itu, mereka akhirnya mengelurkan arahan supaya rumah berkenaan dirobohkan dengan alasan ianya sudah usang dan dibimbangi akan membahayakan orang ramai, sedangkan rumah berkenan masih dalam keadaan elok.

Kebimbangan mereka ke atas dakwah Ikhwan ternyata sekali apabila jenazah As Syahid tidak dibenarkan diiringi oleh sesiapapun di kalangan lelaki. Jenazah beliau diiringi oleh para malaikat dan kaum ibu ke kubur. Lelaki yng mengiringi beliau hanyalah bapanya, Imam Abdul Rahman Al Banna dan Syeikh Makram Abid.

hasan-al-banna3Tekanan ke atas anggota-anggota Ikhwan berterusan walaupun Al Malik Faroq sudah tidak berkuasa lagi di bumi Mesir. Tahun-tahun 1954, 1065 dan 1981 telah merakamkan seribu satu macam kengerian di atas penyiksaan yang dikenakan ke atas anggota Ikhwan.

Ramai ulama’ dibunuh ditali gantung. Tidak kurang juga yang disiksa dengan pelbagai jenis penyiksaan di dalam penjara yang tidak diketahui di mana letaknya.

GAGAL

Musuh-musuh Islam menyangka mereka berjaya menyekat dakwah Islmiyyah dengan membunuh Imam Al Banna dan menekan pengikut-pengikutnya. Sebaliknya kehendak Allah mengatasi segala-galanya.

Dakwah Islmiyyah ini semakin tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Di sebahagian besar negara Arab kemudiannya ditubuhkan cawangan Ikhwnul Muslimun. Di Turkey ditubuhkan Refah Partisi. Di India, Pakistan dan Bangladesh ditubuhkan Jamaat-E-Islami. Di Malaysia ditubuhkan Hizbul Muslimin yang kemudiannya diharamkan oleh Inggeris dan digantikan dengan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Di Indonesia, umat Islam menubuhkan Mayumi. Di Palestin ditubuhkan Hamas dan begitulah seterusnya. Parti dan gerakan Islam satu demi satu bercambah hasil daripada “biasan sinar dakwah” Imam Al Banna rahimahullah.

MENGAPA DIBUNUH ?

Rami berpendapat, Imam Al Banna tidak akan dibunuh jika beliau tidak menyertai jihad menentang Israel pada 1948. Mana mungkin imamul-jihad ini berdiam diri melihat Yahudi meratah-ratah daging saudaranya di bumi Isra’. Sebab itulah beliau menyandang senjata dan mengerahkan umat Islam supaya berjihad, menyahut seruan Allah di dalam Al Quran.

Ikhwan_-_moshafMaka jihadlah yang menjadi punca kemarahan musuh-musuh Islam. Sebelum itu mereka tidak begitu gentar terhadap dakwah Imam Al Banna.

Dakwah yang dilakukan oleh beliau di Mesir adalah dakwah yang penuh dengan hikmah; mengajak manusia kembali kepada Allah, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Hassan Al Banna tidak pernah mengkafirkan sesiapa sesuka hati. Tidak pernah mengarahkan sesiapa melakukan pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin tertentu dan tidak pernah merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dakwah sebegini lazimnya tidak mengundang sebarang tindakan negatif pihak musuh. Tetapi sebaik sahaja melihat kejayaan beliau mengajak umat Islam Mesir menyerti peperangan terhadap penjajah Israel di bumi Palestin, maka musuh-musuh Islam merasa gerun.

Mereka bimbang, orang yang mampu mempengaruhi orang ramai ini akan menumbangkan kuasa mereka suatu hari kelak. Peritiwa ini seakan-akan sama dengan peristiwa Singapura diserang todak. Budak yang berjaya menyelamatkan Singapura daripada diserang todak itu akhirnya dibunuh kerana dibimbangi kepintarannya itu akan menyebabkan kuasa raja tumbang suatu hari kelak.

JASA 1948

Betapa besarnya jasa Imam Al Banna dalam menggerakkan umat Islam berjihad menentang Yahudi! Dalam keadaan umat Islam terlena dibuai mimpi-mimpi indah, beliau menyedarkan mereka supaya bangkit dan menghalau penjajah di Baitul Maqdis.

Mereka bangkit dan berada di barisan hadapan daripada pasukan tentera Mesir ketika itu. Dengan semangat jihad yang kental yang ditanam oleh Imam Al Banna mereka melangkah gagah dan hampir setiap pertempuran menyaksikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Ikhwan48-1Ketika mereka sudah berada di pinggir Tel Aviv, kerajaan Mesir memanggil pulang. Dan apabila pulang, mereka dapati pemimpin mereka, Imam Al Banna telah dibunuh dengan kejam.

Bahkan mereka yang pulang itu pula ditangkap dan dipenjarakan. Kepulangan mereka bukan disambut dengan bunga manggar mahupun anugerah pahlawan. Bahkan mereka disambut dengan penjara dan tali gantung.

Bermula tanggal berkenaan, Yahudi kembali berkuasa ke atas seluruh Palestin sehinggalah ke hari ini. Mereka kembali melakukan kekejaman ke atas umat Islam tanpa mengira lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, muda mahupun tua.

Dr Ahmad Al-Malat, Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Kaherah yang merupakan salah seorang anak murid Imam Al Banna berkata, “Kalaulah tidak kerana pengkhiantan yang dilakukan ke atas Imam al Banna nescaya tinta sejarah (Palestin) telah berubah (insya Allah).”

Dr Al-Malat adalah salah seorang doktor bedah yang ditugaskan oleh Imam Al Banna untuk menyertai peperangan menentang Yahudi di Paletin. Beliau memberikan khidmat kepakarannya kepada mujahidin yang tercedera.

Bersempena ulang tahun pemergian Imam Al Banna, Dr Al-Malat yang sudah lanjut usianya berpesan kepada pemuda-pemuda gerakan Islam yang sedang ditekan di seluruh dunia, “Kita mahu pemuda-pemuda yang berkata kepada dunia, “Cukuplah….”. Kita mahu pemuda-pemuda yang sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan musuh… Sesungguhnya pertembungan di antara hak dan batil berterusan tanpa henti. Dan kita adalah tentera di pihak yang hak. Untuk itu kita perlu menggantikan panglima ini (Imam Al Banna) yang telah menjual dunia dan membeli keredhaan Allah…” – adaptasi dari sumber muhammadhanif.wordpress.com

Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna ( حسن أحمد عبد الرحمن محمد البنا) atau ringkasnya Hassan al-Banna adalah pendakwah, reformis sosial dan politik Mesir dan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin.

BIOGRAFI RINGKAS

Dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati. Bapanya, Syeikh Ahmad al-Banna merupakan seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal berkelulusan Universiti Al-Azhar yang menulis serta menyumbang kepada penulisan kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam

Pada usia 12 tauhn, beliau sudah menghafal al-Quran. Beliau menyertai kumpulan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolah. Beliau rajin menghadiri majlis-majlis zikir pimpinan al-Ikhwan al-Hasafiyyah.

Pada tahun 1923 ketika berusia 16 tahun dia memasuki Dar al ‘Ulum, sebuah sekolah latihan perguruan di Kaherah. Beliau mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma’iliyya, sebuah bandar yang terletak di Zon Terusan Suez.

Pada usia 23 tahun, beliau menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Islamailiyyah pada Mac 1928.

Pengaruh Ikhwan yang semakin kuat amat dikhuatiri dan ditakuti oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa’di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Hassan al-Banna dibunuh akibat tembakan pada waktu tengah hari 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan pertubuhan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan Mesir.
Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna

1.Dirikan solat apabila mendengar azan, walau apapun jua keadaan pada waktu itu.
2.Bacalah al-Quran, atau pelajari tafsirnya atau dengarlah bacaan orang lain, atau zikirlah kepada Allah. Jangan engkau gunakan sebahagian ruang waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.
3.Bercakaplah dengan bahasa Arab yang fasih, kerana ia termasuk dalam syi’ar Islam.
4.Jangan banyak berdebat dalam apa jua hal. Pertengkaran tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan.
5.Jangan banyak ketawa, kerana hati yang berhubung dengan Allah sentiasa tenang dan mantap.
6.Jangan suka berjenaka atau berolok-olok, kerana umat yang berjuang tidak mengenal yang lain selain kesungguhan.
7.Jangan engkau tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar. Ia menunjukkan kebodohan dan menyakitkan.
8.Jauhi menghina orang, mencela organisasi dan jangan berbicara kecuali perbicaraan yang baik.
9.Perkenalkan dirimu kepada orang yang engkau jumpai, walaupun ia tidak meminta daripadamu, sebab dasar dakwah kita adalah cinta dan saling kenal mengenal.
10.Kewajipan selalu lebih banyak daripada waktu yang tersedia. Oleh itu bantulah orang lain untuk memanfaatkan waktunya. Jika engkau mempunyai urusan, maka selesaikanlah dalam waktu sesingkat-singkatnya.