Hasan Haris Mahu TVET Jadi Agenda Utama Anak Muda Merotai

133

TAWAU – Kempen di DUN Merotai memasuki fasa lebih rancak apabila Calon No. 2 Perikatan Nasional (PN) menegaskan pendidikan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras utama agenda pembangunan sekiranya diberi mandat pada 29 November ini.

Hasan Haris berkata, TVET kini menjadi keperluan mendesak kepada anak muda yang berdepan peluang pekerjaan tidak menentu.

“Ramai anak muda masih terperangkap dalam kerja tidak tetap. TVET mampu membuka ruang baharu untuk mereka berdikari, ada kemahiran dan masa depan yang stabil.

“TVET adalah jalan untuk kita ubah nasib anak-anak muda. Kita mahu mereka berdikari, ada kemahiran dan keyakinan. TVET bukan pilihan kedua, ia masa depan yang sebenar,” tegasnya pada program Ceramah Unit Daerah Mengundi (UDM) Semarak, semalam.

Menurut beliau, penguasaan pendidikan kemahiran teknikal akan memperkukuh modal insan Merotai sekali gus meningkatkan keupayaan ekonomi keluarga dan komuniti setempat.

Hasan turut mengingatkan kembali rekod keprihatinan PN semasa negara berdepan pandemik COVID-19, apabila pelbagai bantuan disalurkan untuk menjamin kebajikan rakyat.

“Ketika COVID, PN turun membantu rakyat tanpa mengira latar belakang. Berilah kami peluang untuk terus membantu dengan lebih baik dan terancang,” katanya.

Hasan menegaskan bahawa pengundi Merotai memerlukan wakil yang benar-benar memahami keperluan rakyat, bukan sekadar hadir ketika musim pilihan raya.

Tambahnya, pentadbiran yang prihatin mesti diterjemahkan melalui tindakan dan perancangan jangka panjang menyentuh pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti.

“Undilah calon No. 2, Perikatan Nasional. Insya-Allah kami bawa suara rakyat ke atas, bukan tinggal janji,” ujarnya sebagai seruan kepada pengundi menjelang hari penentuan.