Hari ini, Lima Tahun PAS Mentadbir Negeri Terengganu

792

Hari ini 11hb Mei, 2023, adalah hari yang istimewa kerana pada hari ini genap lima tahun pemerintahan PAS di negeri Terengganu, setelah menang pada pilihan raya umum (PRU) kali ke 14 lalu.

Sepanjang lima tahun, pelbagai usaha telah dibuat bagi melaksanakan 20 manifesto PAS, janji yang ditepati, bukan ‘bual kosong’ menjelang PRU.

Penerima manfaat manifesto PAS yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU14) melahirkan rasa syukur dan lega apabila menjadi sebahagian daripada penerima ‘janji-janji’ parti itu sepanjang tempoh pemerintahan PAS di Terengganu.

Norul Zatu Akmal Adam, 32, berkata, dia bersyukur menjadi penerima lesen memandu kategori B2 secara percuma seperti yang dijanjikan Pas pada PRU lalu.

“Saya memang ada rancang nak dapatkan lesen memandu untuk motosikal tetapi apabila kerajaan mengumumkan secara percuma saya terus daftar dan alhamdulillah walaupun tertangguh hampir setahun kerana pandemik, akhirnya pada Mac tahun ini saya memiliki lesen sendiri.

“Jika perlu dibiaya sendiri, mungkin dalam RM300 untuk dapatkan lesen. Apabila percuma, wang itu dapat digunakan untuk tujuan lain. Alhamdulillah dan terima kasih kerana menunaikan janji,” katanya kepada media.

Fatimah Mamat, 65, pula berkata, penantiannya untuk mendapatkan geran tanah di atas tanah lot yang diduduki sejak lapan tahun lalu tertunai ketika pemerintahan Pas di Terengganu.

“Alhamdulillah pada tahun 2020 saya memiliki geran tanah di atas nama sendiri. Lega kerana sebelum ini bimbang tapak kediaman diambil semula.

“Dulu memang tak senang duduk apabila tidak ada geran, sekarang walaupun perlu mengeluarkan sedikit wang untuk dapatkan geran, saya sangat bersyukur. Terima kasih kerana menyediakan khidmat seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Cawangan Batu Hampar, Ghani A Wahab berkata, selaku penyokong parti itu, beliau bersyukur kerana janji-janji Pas pada PRU14 dapat ditunaikan sepenuhnya.

“Sebagai salah seorang pemimpin di peringkat kampung, saya sentiasa memastikan setiap bantuan akan sampai kepada penduduk yang layak.

“Pada PRU15 kali ini, saya berharap lebih banyak manifesto dibuat PAS dan sudah pasti kami selaku akar umbi akan memberi kerjasama sebaik mungkin,” katanya yang akan menjadikan kejayaan merealisasikan manifesto PRU14 sebagai salah satu ‘senjata’ untuk berkempen.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerusi laman Facebooknya menzahirkan ucapan tahniah kepada Pas Negeri Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kejayaan menunaikan semua manifesto yang telah dijanjikan pada PRU14.

Katanya, kejayaan itu sekali gus menunjukkan Pas sentiasa komited dalam mengotakan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.

Nasihat beliau kepada semua wakil rakyat PAS, teruskan bekerja keras dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada Pas.

“Semoga rakyat dan negeri sentiasa mendapat limpahan berkat dan pertolongan daripada ALLAH SWT,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, antara manifesto utama adalah mengembalikan tanah yang dirampas kerajaan BN selepas PAS memerintah pada tahun 2004 dan membuka permohonan baru dengan memberi geran kekal terus kepada yang layak.

“Pemberiaan hak milik tanah adalah suatu anugerah yang mendatangkan kebahagiaan dan kesyukuran tak terhingga rakyat Terengganu dengan komitmen yang dibuktikan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato Dr Ahmad Samsuri.

“Sehingga Januari 2022, 12,624 lot tanah diluluskan serta diagihkan dan proses kelulusan masih terus berjalan untuk rakyat negeri ini,” katanya

Fakta boleh dilihat apabila pada 23 Januari 2022, seramai 64 peserta menerima penyerahan Jadual 1 dan undian Lot Tanah di Kawasan Tepoh Parlimen Kuala Nerus.

Kemudianya pada 24 Mei 2022, 514 peserta RTB di Dun Bukit Besi Daerah Dungun menerima dokumen hak milik tanah dan Borang 5A.

Pada 28 Mei 22, 320 Geran Hak Milik Tanah sudah berada dalam tangan penerima dari Dun Langkap dan Permaisuri Setiu.

Tidak sekadar itu tanggal 9 Jun 2022, 350 peserta menerima Geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dun Hulu Besut melibatkan 6 Rancangan Tanah Berkelompok.

Pada 30 Ogos 2022, 437 lot tanah RTB perumahan dan pertanian disampaikan kepada penduduk DUN Pengkalan Berangan.

Bermula Jun 2018 sehingga September 2022 jumlah keseluruhan penerima lot RTB dari DUN Rhu Rendang adalah sebanyak 993 dan pada 20 Oktober 2022, 535 orang penerima lagi menerima hakmilik tanah.

31 Januari 2023, 143 penyerahan dokumen hak milik & borang 5A bagi RTB Dun Rantau Abang, Dungun.

Dan kejayaan terbesar buat Daerah Marang apabila 100 peratus lot tanah terkilan Daerah Marang berjaya diselesaikan dan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri Terengganu mengambil perhatian serius berkenaan hal rakyat tempatan.

Walaubagaimanapun rakyat masih berkenaan isu tanah yang dirampas oleh kerajaan BN terdahulu selepas PAS tewas pada PRU 2004.

Untuk rekod, ketika kerajaan PAS mentadbir Terengganu 1999-2004, ribuan lot tanah RTB pertanian dan tapak rumah disediakan dan sebahagian diagihkan kepada peserta.