Oleh; Dr. Ustaz Riduan Mohd Nor
Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat mengumumkan bahawa Hard Rock Cafe akan dibangunkan di Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya. Pengumuman Tan Sri Aseh mungkin suatu kebanggaan buat dirinya dan insan sepertinya, namun ia adalah ibarat halilintar yang membelah bumi buat umat Islam khususnya di Putrajaya.
Putrajaya adalah pusat pentadbiran negara dan ia menjadi mercu tanda kemegahan negara. Segala pejabat kerajaan dan agensi di bawahnya dipusatkan di Putrajaya sejak ia dibuka hampir sedekad lamanya. Ribuan pekerja profesional dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat tertinggi kerajaan berpejabat di situ dan disitiulah juga mereka bermastautin mencari rezeki sesuap nasi.
Hard Rock Cafe adalah pusat hiburan dan syurga buat golongan muda berpeleseran. Di Kuala Lumpur tersergam sebuah Hard Rock Cafe sejak sekian lamanya tempat golongan muda memuaskan nafsu mereka. Di situlah tempat berpesta buat golongan yang tidak mengenal dosa dan pahala.


Kerajaan sepatutnya mengutamakan pembangunan manusia lebih daripada pembangunan hiburan. Rakyat dahagakan pengisian kepada pembangunan ini, serta pembinan insani dan manusiawi. Lebih dari itu, ribuan pekerja yang mencari rezeki di bumi Putrajaya perlukan bimbingan serta sentuhan rohani yang mampu mendidik mereka menjadi insan musleh pemimpin keluarga dan masyarakat.
Membuka Hard Rock Cafe di Putrajaya bakal meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat dan negara. Anak muda hilang pedoman, berjangkit penyakit sosial sehingga menjadi wabak yang merosakkan umat. Cukuplah hiburan menjadi candu masyarakat, daripada internet, televisyen sehingga kepada pusat-pusat hiburan. Umat Islam Putrajaya wajar bangkit dan bantah, marah menandakan tidak ada keredhaan buat pencari maksiat bersarang di bumi Putrajaya.
**** Dr Ustaz Riduan Mohd Nor adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat


























