Hantar Bantuan Kepada Penduduk PKPD Felda Tersat

95

KUALA TERENGGANU – PAS kawasan Hulu Terengganu telah turun padang menghantar sumbangan makanan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah, mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Penerangan Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim berkata, ia sedikit sebanyak membantu mereka yang tidak dapat keluar untuk mencari barang keperluan di saat ini.

“Saya bersama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Tersat sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan kebajikan rakyat di sana terbela,” jelasnya.

Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, demikian dalam laman facebooknya, pada semalam.

Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang telah dilaksanakan di Felda tersebut sekarang ini bagi mengawal jangkitan Covid -19 dalam komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian pandemik itu.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak membenarkan mana-mana pihak yang bukan penduduk ini untuk memasuki kawasan Felda bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Satu hakikat yang perlu diakui, sedaya upaya saya cuba untuk mematuhi SOP,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau mengajak orang ramai sama-sama berdoa agar dijauhkan semua dari penyakit yang melanda dunia sekarang.

“Teruskan berdoa semoga Allah s.w.t mengangkat dan menjauhkan wabak pandemik ini dari diri kita dan orang tersayang,” tambah Ustaz Maliaman lagi.