Halang Penghinaan Agama Daripada Berleluasa

111

KUALA TERENGGANU – Pihak berwajib hendaklah mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang menghina Islam bahkan agama lain, sehingga mengakibatkan fitnah dan rasa tidak selesa khususnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh berkata, ia adalah bagi memperingati kepada orang ramai agar tidak sesuka hati mempersendakan agama Islam.

“Amat terkesan dan malu dengan isu video tular seorang wanita yang didakwa mempersenda dan menghina kesucian agama Islam di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini.

“Islam mengajar penganutnya agar memelihara maruah diri dan kesucian ajaran Islam serta menghormati agama lain,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Muslimat Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam satu kenyataan di laman sosialnya semalam.

Tambahnya, tahniah dan terima kasih diucapkan
kepada Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama yang telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan segera ekoran insiden ini.

“Syabas atas tindakan pantas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah menggantung sementara operasi premis berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan wanita tersebut,” ujar Nuridah.

Justeru itu, semua pihak diseru agar tidak menjadikan agama sebagai bahan sendaan dan mesti bekerjasama menghalang perkara sebegini dari berleluasa demi keharmonian negara.