Guna Logo PAS Di Tiga Negeri Akan Diputuskan

150

ALOR SETAR – Penggunaan logo PAS di Terengganu, Kedah dan Kelantan bakal diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala keputusan apa jua strategi akan dibincangkan secara bersama pada mesyuarat yang akan diadakan minggu hadapan.

“Penggunaan logo (PAS) di tiga negeri ini akan dibincangkan nanti, semua perkara dalam PN ini kita akan bincang bersama.

“Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai untuk dibincangkan kita akan ambil kira untuk diputuskan dalam mesyuarat tertinggi itu nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita, di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68, di Kompleks PAS Kedah, di sini hari ini.

Mengulas mengenai Ucapan Dasar yang disampaikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ujarnya, segala pesanan itu tepat pada masa dan ketikanya

“Dengan mesej yang telah disampaikan semua pihak perlu melakukan persiapan yang selengkapnya untuk kemenangan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, ” ujarnya.

Tegasnya, dalam keadaan anak muda yang tidak suka pada ‘kleptokrasi’, salah guna kuasa dan menolak rasuah PN menjadi pilihan tepat.