Gejala Futur

30
Ustaz Ridzuan Hashim

Oleh : Ustaz Ridzuan Hashim

Tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan.
2. Mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, kita tidak boleh lari daripada kewajipan untuk berjuang dan berjihad. Hal ini kerana itulah tugas kita sebagai seorang yang beriman. Allah SWT meletakkan jihad dan perjuangan sebagai syarat untuk menyertai perniagaan yang ditawarkan-Nya, iaitu perniagaan yang menyelamatkan kita daripada api neraka dan mengurniakan syurga.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍۢ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ ١٠ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ١١
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah As-Saff, ayat 10 & 11)

Daripada sekian banyak amalan dan ketaatan yang disyariatkan dalam Islam, Allah SWT meletakkan iman dan jihad sebagai modal utama untuk melayakkan kita menyertai perniagaan yang menyelamatkan kita daripada api neraka, seterusnya memperoleh keampunan dan syurga.

وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۢ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ ٧١
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang, memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (Surah At-Taubah, ayat 71)

Lelaki dan perempuan yang beriman saling membantu antara satu sama lain. Keutamaan yang disebut oleh Allah SWT ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kemudian, barulah diikuti dengan mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Makruf yang paling besar ialah mengajak manusia melaksanakan syariat Allah SWT, manakala mungkar yang paling besar ialah berhukum dengan hukum yang bercanggah dengan syariat Allah.

اِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا بِاللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوْا وَجَاهَدُوْا بِاَمْوَالِهِمْ وَاَنْفُسِهِمْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِۗ اُولٰۤىِٕكَ هُمُ الصّٰدِقُوْنَ ۝١٥
Sesungguhnya orang-orang mukmin (yang sebenarnya) hanyalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. (Surah Al-Hujurat, ayat 15)

Berbanding pelbagai kewajipan yang lain. Hanya mereka yang memiliki ciri-ciri ini dikategorikan sebagai orang yang benar-benar beriman, iaitu mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, seterusnya berjuang dan berjihad di jalan-Nya.

Inilah asas yang perlu difahami. Bersedia atau tidak, perjuangan adalah suatu kemestian. Itulah tugas dan sifat orang yang beriman. Jika kita tidak berjuang dan berjihad, kita bimbang iman kita akan dipertikaikan oleh Allah SWT. Sebagaimana seorang anggota bomba yang kerjanya memadam kebakaran dan menyelamatkan nyawa, tetapi gagal melaksanakan tugas tanpa alasan yang munasabah, masyarakat akan mempertikaikan kredibiliti mereka.

Inilah asas dan kefahaman yang mesti difahami tentang mengapa kita perlu bersama-sama dengan orang yang berjuang dan berjihad. Perjuangan itu sendiri adalah suatu kewajipan, bukannya suatu pilihan.

لَوْ كَانَ عَرَضًۭا قَرِيبًۭا وَسَفَرًۭا قَاصِدًۭا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِنۢ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ ٱلشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ ٤٢
Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu.” (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu benar-benar berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). (Surah At-Taubah, ayat 42)

Sifat semula jadi jalan dakwah itu sendiri ialah perjalanan yang panjang dan penuh dengan rintangan serta cabaran yang hebat. Ia merupakan suatu kewajipan, bukannya suatu pilihan. Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya untuk menzahirkan siapakah yang benar-benar ikhlas dan sabar. Merekalah yang akan terus istiqamah dalam perjuangan. Kuncinya ialah mengharapkan keredaan Allah SWT. Dengan itu, Allah SWT akan mengurniakan kekuatan untuk menghadapi segala ujian dan cabaran.

Bagaimana hendak menghadapi ujian yang getir ini? Inilah tarbiah secara langsung yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu yang pertama yang dikaitkan dengan ilmu.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُزَّمِّلُ ١ قُمِ ٱلَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًۭا ٢ نِّصْفَهُۥٓ أَوِ ٱنقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ٣ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ ٱلْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا ٤ إِنَّا سَنُلْقِى عَلَيْكَ قَوْلًۭا ثَقِيلًا ٥
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh daripada waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan tartil. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-5)

Allah SWT juga menyebut dalam Surah al-Muzzammil bahawa kerja-kerja perjuangan merupakan suatu amanah yang berat. Oleh itu, ia menuntut persiapan yang rapi, iaitu dengan membina ilmu serta memperkukuhkan kekuatan dalaman. Kekuatan ini dapat dipupuk melalui amalan qiamullail dan membaca al-Quran. Selain itu, antara amalan yang dapat menguatkan jiwa dan menyegarkan semangat perjuangan ialah membaca al-Ma’thurat secara istiqamah.

Di saat kita membaca al-Quran, hadirkanlah hati kerana pada hakikatnya kita sedang bermunajat kepada Allah SWT. Hayatilah setiap ayat yang dibaca kerana itulah juga kalam yang dibaca oleh Rasulullah SAW, disampaikan oleh Malaikat Jibril AS, serta menjadi bacaan para sahabat. Al-Quran ialah kalam Allah SWT, dan tiada sesuatu pun yang lebih mulia daripada kalam-Nya. Justeru, amatlah rugi bagi sesiapa yang mengabaikan bacaan al-Quran.

Segala yang berkaitan dengan al-Quran mempunyai kemuliaan yang luar biasa. Penyampai wahyu, iaitu Malaikat Jibril AS, merupakan penghulu segala malaikat. Al-Quran pula merupakan mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW, penutup sekalian nabi. Ia diturunkan di Makkah dan Madinah, dua tanah haram yang dimuliakan oleh Allah SWT. Bulan Ramadan juga dimuliakan kerana padanya diturunkan al-Quran, bahkan Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan tersebut. Demikianlah juga dengan kita; apabila membaca, menghayati dan beramal dengan al-Quran, nescaya Allah SWT akan mengangkat darjat serta memuliakan kehidupan kita.

(Usrah Pemuda DUN Buluh Gading | Manhaj Usrah PAS – Tafsir Al Quran Peringkat Taarif 1 & 2 (ms 21-13) | Wabak Sepanjang Jalan – Jilid 1 (ms 24-27) | 28 Julai 2026)