Oleh : MNA
Sidang Ddewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam menyaksikan adegan agak panas yang sengaja dicipta oleh wakil BN bagi mengganggu ucapan wakil PAS pada sebelah sesi petang.
Kejadian berlaku apabila wakil Bukit Payong (PAS) YB Ustaz Mohd Nor Hamzah sedang menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada ucapan perasmian pembukaan Dun oleh DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Ketika Ustaz Mohd Nor menyentuh berkenaan penipuan pakej umrah kepada guru-guru di Terengganu dan beliau masih belum menghabiskan seluruh tujuan ucapan beliau, wakil Jabi (BN) Mohd Iskandar Jaafar bangun mencelah.
Beliau yang terus mengkritik ucapan Ustaz Mohd Nor itu tanpa meminta laluan dan terus bercakap seperti seorang yang tidak tahu peraturan Dun dengan mendakwa Adun Bukit Payong itu cuba mengheret kerajaan dalam isu itu.
Sedangkan ucapan sepenuhnya oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu itu hanyalah sebagai rayuan memohon jasa baik agar kerajaan Negeri untuk membantu guru-guru terlibat disamping mengenakan langkah ketat bagi mengelak ianya berulang.
Akibat daripada sikap gelojoh wakil Jabi itu keadaan menjadi tegang dengan campurtangan dari beberapa lagi Adun lain yang akhirnya menyebabkan perang mulut berlaku.
Wakil Jabi kemudiannya duduk setelah diarahkan Speaker Dun, Dato’ Zubir Embong tanpa beliau meminta maaf diatas perbuatan beliau itu.
Ustaz Mohd Nor kemudiannya dibenarkan menyambung ucapan yang di dalamnya ada memuji kehebatan guru-guru di Terengganu yang menjulang kecemerlangan pendidikan anak-anak Terengganu dan sewajarnya mereka dibela.
Terdahulu sebelum itu, beliau ada menyentuh akan peranan kerajaan yang secocok mengikut Islam iaitulah dengan menyediakan perkara-perkara yang keperluan utama rakyat tanpa kompromi.
Tetapi kata beliau, ada banyak projek yang didakwa kononnya atas dasar kemajuan dijalankan kerajaan, tetapi akhirnya terbengkalai dengan biaya berbillion ringgit sedang dalam masa yang sama, projek-projek kecil bagi kesenangan rakyat di kampung, tidak dibuat.
Sambil memberikan contoh projek-projek di Tasik Kenyir yang sehingga hari ini masih belum disiapkan setelah bertahun-tahun dan berkali-kali melangkaui masa projek siap dengan bajet ratusan juta ringgit.
Begitu juga dengan isu pengambilan tanah di Kampung Laut di Dun Bukit Payong, rakyat tidak dibenarkan menukar status tanah-tanah mereka, tetapi dalam waktu yang sama, projek perumahan oleh kontraktor diluluskan.
Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan kaedah kerajaan mengkategorikan taraf kemiskinan rakyat kerana beliau mendapati data-data yang diberikan oleh kerajaan bercanggah dari apa yang dinyatakan.
Seperti contoh yang beliau berikan iaitu jumlah fakir dan miskin di Terengganu yang diisytiharkan kerajaan ialah seramai hampir 35 ribu orang sahaja, tetapi bagi bantuan raya, kategori berpendapatan rendah seramai kira-kira 220 ribu orang yang layak.



























