Gandakan Pendidikan Pemulihan Untuk ‘Menjaga Akal Anak Muda’

77

KUALA TERENGGANU – Usaha membasmi penyalahgunaan ‘najis dadah’ mesti menjadi keutamaan program sosial dan kesihatan negeri Terengganu dengan pendekatan ‘serampang tiga’.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor mencadangkan, antara langkah perlu diambil ialah penguatkuasaan lebih agresif, pendidikan pencegahan yang menyeluruh, dan pemulihan berfokus komuniti.

“isu ini bukan polemik mana-mana parti politik tetapi krisis kesihatan awam yang telah berakar puluhan tahun dan kini dipacu bahan sintetik murah serta tabiat menghisap vape dalam kalangan remaja.

“Menjaga akal anak muda ialah amanah. Kita tidak boleh kalah di sekolah, di kampung dan di universiti,” kata beliau yang juga ADUN Jertih, ketika membahaskan Belanjawan 2026, Sidang Bajet, di sini, semalam.

Menurutnya, rekod penagih di negeri Terengganu sangat membimbangkan, dengan daerah Kuala Nerus tertinggi diikuti Besut.

“akses bahan murah seperti pil kuda serta penggunaan vape sebagai lorong awal kepada dadah sintetik bagi segelintir remaja.

“Kita mesti putuskan rantaian mula, di rumah, sekolah, masjid dan pusat komuniti,” katanya memberi amaran.

Oleh itu, untuk mempercepat kesan, beliau mencadangkan kempen anti-dadah berskala besar pada 2026 yang menyatukan PDRM, AADK, PEMADAM, PENGASIH, Jabatan Kesihatan, sekolah dan Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN.

“Tumpuan operasi dicadang di lokasi panas termasuk kawasan perumahan berpendapatan rendah dan rancangan FELDA, diiringi modul pendidikan akhlak dan literasi bahaya vape untuk pelajar, ibu bapa dan guru.” tambah beliau.

Justeru, selain penguatkuasaan, Dr Riduan menekankan kepentingan rehabilitasi yang bermaruah sebagai solusi.

“perluasan akses pusat pemulihan, rawatan susulan, sokongan pekerjaan, serta jaringan mentor komuniti dan masjid.

“Kita mahu pulih, bukan sekadar hukum. Setiap anak muda ada peluang kembali,” tegas beliau

Dalam masa sama, kata beliau, integriti dalam pelaksanaan, data yang telus, sasaran yang jelas dan pemantauan berkala, perlu diberi perhatian.

“Tetapkan KPI 2026: pengurangan kadar kes baharu, liputan modul pencegahan di sekolah, dan bilangan klien pulih. Tanpa angka, kita hanya slogan,” katanya.

Dr Riduan turut mengingatkan agar budaya hedonisme dan kandungan digital yang menormalisasi penggunaan bahan terlarang ditangani secara berhemah.

“Kempen kita mesti melawan normalisasi, bukan memalukan mangsa. Bahasa kita perlu merawat, bukan menstigma,” tambah beliau lagi.