Felda Perlu Selesaikan Segera Projek Perumahan Generasi Baharu Yang Terbengkalai

1721

Oleh : Naraza Muda

Sekali lagi pihak Hal Ehwal Felda Pas Pusat ( HEFPP ) mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abdul Samad kerana memberi respon segera terhadap desakan NGO GENERASI yang banyak membangkitkan permasalahan perumahan generasi 2 & 3 Felda yang sangat mendesak.

Pengerusi Felda mengulangi janjinya untuk memastikan Felda menyiapkan 20,000 unit buah rumah untuk generasi 2&3 Felda menjelang 2018 dalam satu majlis di Tanjung Malim pada 06 Oktober 2015 lalu.

Projek Perumahan Baharu Generasi Felda PGBF dimulakan pada tahun 2012 dengan peruntukan RM1.4 billion, dan sehingga kini 8570 unit dalam proses pembinaan dan sebahagian kecil sudah siap dibina di seluruh negara.

Namun apa yang mendukacitakan warga generasi Felda, banyak projek ini menghadapi masalah sehingga menimbulkan kebimbangan dan keserangsian apakah peserta dan pemohon dapat menduduki rumah ini mengikut tempoh yang dijanjikan.

Ada beberapa projek yang sudah siap tetapi tidak dapat dijual kerana perbagai masalah teknikal seperti status tanah dan kelayakan pemohon itu sendiri. Sebagai contoh PGBF di Felda Padang Piol Jerantut, sudah siap sepenuhnya tetapi masih tidak dapat diagihkan.

Apa yang mengejutkan pihak kami, Felda terpaksa membuat pinjaman baharu RM300 juta melalui bank perdagangan untuk selesaikan 7 Projek PGBF yang dikategorikan ‘sakit ‘.

Pihak kami telah mengenal pasti 7 projek PGBF sakit ini iaitu, Felda Bukit Sagu, Felda Sungai Retang, Felda Jengka 12, Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg Awah dan Felda Chini 3, semuanya di Pahang.

Pahang di antara negeri yang paling banyak mendapat projek PGBF, sekitar 4000 unit buah diperuntukan dan telah dilaksanakan tetapi masih di tahap 50 peratus pelaksanaan dan ada yang terbengkalai di peringkat awal penyediaan tapak lagi.

Di Terengganu pihak kami mengesan 5 projek perumahan PGBF dan sentuhan kasih. Malangnya tiada satupun projek ini siap sehingga oktober 2015. Lebih malang ada projek ini hanya dilihat umpan piliharaya sahaja. Di Felda Bukit Bading 98 unit disebut akan dibina dan sudah siap pelancaran pecah tanah oleh Y.A.B Menteri Besar Terengganu pada 2012, apa yang menyedihkan hanya semak samun penganti unit rumah .

Justeru itu pihak kami mengharapkan Felda melaksanakan dan menyelesaikan dahulu semua projek PGBF ini sebelum memberi jaminan akan menyiapkan kesemua 20,000 unit menjelang 2018.

Hal Ehwal Felda Pas merasakan adalah tidak wajar satu keperluan warga generasi Felda ini dijadikan umpan dan bahan ugutan untuk kepentingan politik sempit. Kami bersetuju dengan penyediaan peruntukan RM1.4 billion untuk 20,000 unit rumah, tetapi kami tidak sekali-kali bersetuju sebarang penyelewengan berlaku.

Kami sudah menubuhkan Jawatankuasa untuk memantau semua projek perumahan ini di kawasan Felda seluruh negara bagi memastikan setiap projek ini dilaksanakan dengan telus oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

*** NARAZA MUDA ialah anak jati Felda Jerangau yang juga Pengerusi Hal Ehwal Felda Pas Pusat
13 Oktober 2015