Oleh : Naraza Muda
Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Neram 1 yang sepatutnya diduduki seawal 2014 kini masih belum diagihkan. Projek yang dimulakan 2012 sepatutnya siap sepenuhnya akhir 2013 sehingga kini belum dapat diduduki.


Jika urusan pengagihan ini dapat dilakukan, hampir 105 keluarga generasi Felda Neram akan menikmati janji yang telah lama mereka menunggunya. Kami beberapa kali membawa isu ini agar diselesaikan kerana ianya satu keperluan mendesak warga anak peneroka Felda seluruh negara.
Sehingga kini Felda masih gagal menyiapkan PGBF ini mengikut jadual. Sepatutnya 10 ribu unit fasa pertama 2014 sudah diduduki dan 2017 kesemua 20,000 unit PGBF dengan peruntukan RM1.4 bilion seperti diumumkan oleh kerajaan pusat diselesaikan menjelang 2017. Fasa pertama menghadapi masalah yang menyebabkan projek ini terbengkalai terutamanya di Pahang.


Rumah adalah satu keperluan dan bukan umpan atau terus memberi harapan yang terpaksa dinanti penggal demi penggal. Warga Felda tidak sewajarnya dijadikan bahan kajian seperti ucapan seorang perwakilan ketika berucap di Persidangan Umno baru-baru ini. Felda juga tidak perlu mencipta alasan tidak munasabah seperti kenyataan Pengerusi Felda pada bulan Ogos 2016 dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam akhbar ( sinar ) projek PGBF ini terlewat kerana masih belum mendapat kelulusan pembiayaan Bank pembangunan untuk meneruskan PGBF sedangkan ianya sudah diluluskan RM1.4 bilion pada 2012.
***Naraza Muda ilah Pengerusi Hal Ehwal Felda Pas Pusat
04 Disember 2016 / 04 Rabi’ul-Awwal – 1438


























