Peningkatan yang tinggi dalam pelaburan langsung asing pada tahun 2013 seharusnya diurus dengan baik bagi mengelakkan ketidakseimbangan dalam pulangan kepada rakyat dan negara.
Saya berharap pelaburan yang berjumlah RM 38.77 bilion sepertimana yang diumumkan Jumaat lalu tidak hanya menguntungkan pihak pelabur kerana kos operasi di negara ini yang rendah, namun ia juga mampu memberikan impak kepada sektor ekonomi negara terutamanya perkembangan teknologi dan penggunaan tenaga mahir tempatan secara maksimum.


Isunya adalah apakah jenis pelaburan yang telah diterima dan bagaimana ia boleh memberi impak bagi menangani kadar pertumbuhan pendapatan bulanan rakyat dan ekonomi negara? Jika pelaburan tersebut hanya mengeluarkan produk mereka sahaja, maka sudah pasti pulangan pelaburan kepada negara bersifat jangka pendek semata-mata.
Disebabkan pelaburan tersebut lebih menumpukan industri berasaskan insentif modal berbanding buruh, maka adakah kerajaan bersedia untuk menyediakan tenaga mahir yang dianggarkan tidak lebih 30% untuk memacu dan menggerakkan industri berteknologi tinggi? Bagaimana pula pelaburan ini mampu memujuk pekerja mahir negara yang sedang berkhidmat di luar negara menabur bakti di Malaysia?
Dalam hal ini, apa yang penting juga adalah langkah memberdaya potensi dan kepakaran anak muda untuk mengadaptasi nilai positif budaya kerja negara luar dalam industri kritikal seperti Jepun dan Jerman. Ini dapat dilakukan dengan inisiatif ‘internship’ atau pertukaran perkhidmatan di pejabat korporat peringkat antarabangsa dalam tempoh tertentu.
Inilah masanya untuk kita menilai sejauhmana keberkesanan keseimbangan peranan pihak MIDA dan Talent Corporation memenuhi tuntutan kewangan negara disamping memberi limpahan kebaikan kepada para pekerja mahir tempatan untuk mengisi kelompongan pasaran buruh serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja mahir asing.
**** Kenyataan media Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin, Naib Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia





























