Exco BN Terengganu ‘Persenda’ Kesusahan Rakyat

2592
Gambar fail - Sultan Mizan ketika merasmikan sidang DUN Mac lalu turut mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri yang memberi tumpuan kepada tiga agenda utama iaitu berkaitan perumahan, membantu meringankan beban ekoran kenaikan kos sara hidup dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

KUALA TERENGGANU – Exco Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) A.Latiff Awang dilihat mempersendakan rakyat dengan mempermain-mainkan isu kenaikan harga barang yang sangat dirasai oleh seluruh rakyat, bukan sahaja di Terengganu, malah di seluruh negara.

Gurauan yang dianggap tidak kena pada tempatnya apabila beliau mengatakan peniaga-peniaga suka harga barang naik, sedangkan yang dibincangkan ialah bagaimana mahu membantu rakyat terbanyak, telah menimbulkan ketidak puasan hati Adun-Adun PAS.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah kesal dengan sikap acuh tak acuh yang dizahirkan oleh wakil kerajaan itu.

“Ini satu sikap yang mencerminkan Umno sememangnya tidak kisah dengan kenaikan harga barang, walaupun yang merana ialah rakyat jelata…..laungan mahu membantu rakyat hanyalah retorik sahaja,

“Kita sibuk membincangkan bagaimana mahu menurunkan harga, bagaimana mahu membantu rakyat meneruskan kehidupan dalam keadaan sukar sebegini, dia memilih untuk bergurau demikian,” tegasnya.

Beliau mempersoalkan bagaimana peniaga gembira dengan kenaikan harga barang? Sedangkan mereka juga terpaksa membeli dengan harga yang tinggi?

Katanya lagi, adakan mereka gembira apabila pelanggan kurang membeli? Ini ia adalah satu jenaka yang malang bagi rakyat Terengganu.

“Kita juga boleh lihat dalam Perhimpunan Agung Umno dahulu, ahli-ahli Umno sendiripun mengeluh kesah dengan kenaikan harga barang ini, Umno atau PAS, semua kena.

“Seharusnya rakyat sedar dan menolak Umno di dalam PRU nanti kerana sikap yang tidak bertanggungjawab wakil kerajaan ini,” ujar beliau kesal.

Terdahulu ADUN Ladang, Tengku Hassan Tengku Omar (PAS) telah memberikan beberapa fakta tentang kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang berlaku bawah pemerintahan Umno-BN.

Beberapa ADUN Umno cuba menafikannya perkara tersebut sedangkan menurut Dato’ Tengku Hassan ia telah disebut oleh Tuanku Sultan Terengganu pada Mac 2017.

Beliau yang membahaskan Bajet 2018 yang dibentangkan pada Rabu 13 Disember, kemudian diganggu oleh wakil kerajaan, termasuk A.Latiff Awang.

“Saya nak mencelah sikit pasal kos sara hidup meningkat ni, saya tanya tok peraih ikan (orang tengah) dia suka ikan mahal, saya tanya penjual sayur, dia suka sayur mahal,” kata A.Latiff.

Marah dengan gurauan yang dilihat mempersendakan golongan miskin itu, wakil-wakil PAS segera meminta Yang DiPertua Dewan mengarahkan A. Latiff supaya duduk.