

Malah menurut Perdana Menteri kunci tersebut disimpan selamat oleh Raja Raja Melayu yang telah berikrar memelihara Islam pada setiap masa seperti yang terdapat di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
Menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam ada suatu cubaan untuk menanam budaya asing di bumi Malaysia. Malah ianya tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang berteraskan Islam serta prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Rakyat Malaysia khususnya orang Islam telah disogok dengan pelbagai rancangan hiburan di dalam media elektronik dan bukan elektronik. Sekarang budaya berhibur inimahu ditambahkan lagi dengan konsert-konsert dan pertunjukan yang langsung tidak mencerminkan budaya masyarakat timur. Berpeleseran di waktu malam hanya akan mengundang lebih banyak keburukan dari kebaikan. Dengan kadar jenayah seperti pembunuhan, rogol dan pembuangan bayi yang semakin meningkat, kehadiran hub hiburan malam hanya akan menambahkan lagi statistik jenayah ini sahaja.
Pelaksanaan undang-undang jenayah juga telah gagal menjadi factor mengurangkan kadar jenayah di dalam negara kerana undang-undang tersebut tidak menekankan aspek pencegahan dan naluri kerohanian masyarakat negara.
Dengan membudayakan hub hiburan ini sudah pasti masyarakat Malaysia akan terus pincang dengan kebejatan akhlak dan moral khususnya di kalangan muda-mudi.
Kekayaan ekonomi negara sendiri akan punah sekiranya rakyat hanya mahu berhibur dan tidak berusaha sepenuhnya mencapai kejayaan.
Tindakan kerajaan ini dilihat sebagai cuba mendekati masyarakat bukan Islam dan masyarakat liberal tetapi mengenepikan kehendak masyarakat Islam arusperdana yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.
PPMM dengan tegas mendesak Perdana Menteri menarik balik Program ETP tersebut dan menghormati kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan. DYMM Yang Di Pertuan Agong juga mempunyai obligasi beperlembagaan (constitutional obligation) pada setiap masa bagi memelihara Islam dan tatabudaya orang Melayu. PPMM juga merafak sembah kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong agar mempertahankan jatidiri kebangsaan yang berteraskan kepada Islam di dalam setiap tindakan kerajaan.
Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)



























