Tahukah anda semalam di Bangladesh proses pengkebumian seorang maulana telah dihadiri oleh seramai lebih 100 ribu orang yang gagal dihalang polis. Menurut pihak madrasah, mereka tidak mengajak orang ramai hadir tetapi dalam masa beberapa jam sahaja, ratusan ribu manusia telah muncul di kawasan perkuburan.
Polis Bangladesh mengenakan hukuman kepada polis di kawasan tersebut. Sehingga semalam jumlah kes di sana hampir sekitar 3000. Tetapi umum mengetahui akan keadaan Bangladesh yang kekurangan fasiliti bagi tujuan saringan. Ibarat menunggu satu letusan besar kerana PKP di sana tidak menjadi, kata rakan saya yang berasal dari sana. Beliau selalu memaklumkan perkembangan negaranya kepada saya.
Di Indonesia, ada terdapat video pertengkaran antara peniaga dengan pihak berkuasa tempatan. Mereka tetap mahu menjalankan aktiviti ekonomi secara bebas walaupun ditegah. Kata pihak berkuasa mereka dihalang kerana aktiviti sebegitu ketika ini boleh mendatang maut.
Para peniaga bertanya apa bezanya dengan mati tak makan? Dijawab pegawai bertugas, kamu akan mati keseorangan kalau tidak makan, tetapi akan menyebabkan ramai mati jika terkena jangkitan corona. Soal pula si peniaga, habis kalau ramai yang tak makan, matinya ramai juga. Begitulah tegarnya mereka melawan pihak berkuasa.
Di Qatar khabarnya di sekitar Doha, PKP tidak berjalan dengan baik. Mereka kelihatan bebas bergerak tanpa pemantauan yang serius. Hasilnya mereka telah mendahului Malaysia dari segi jumlah kes positif yang aktif. Jika dikira dalam peratusan, mereka jauh lebih tinggi kerana penduduk mereka hanya 10 peratus dari Malaysia.
Di Filipina, diadakan rapat umum oleh parti berhaluan kiri seperti Komunis, mengajak rakyat membantah PKP di sana atas alasan menghalang mereka mencari rezeki. Dahsyat juga politik mereka kerana bukan sahaja memperbodohkan rakyat, malah membahayakan nyawa rakyat, tetapi yang peliknya mengaku mengambil berat tentang rakyat.
Di UAE, ada khabar yang kurang menyenangkan iaitu kemungkinan sejumlah besar pekerja warga asing yang selama ini menjadi nadi dan tulang belakang negara mereka, akan dihantar pulang. Majoritinya ialah rakyat India. Jumlah terkumpul kes positif di sana sehingga 20hb April ialah 6781.
Singapura pula yang terdahulu seperti menganjing kepada Malaysia, sekarang sedang jauh mendahului negara kita. Walaupun dikatakan semua itu adalah kerana pekerja warga asing, tetapi ia jelas menunjukkan PKP tidak dilaksanakan dengan berkesan sejak dari mula.
Manakala Malaysia dengan usaha semua pihak, doa dari kita, dan takdir baik yang Allah turunkan, sekarang sedang menuruni graf perlahan-lahan. Disebalik kebencian kita terhadap sekatan ini, ianya mula membungakan hasil yang sangat baik. Masih jauh, tetapi ianya memberikan harapan yang sangat besar kepada kita.
Alhamdulillah dengan bantuan Allah, kerajaan kita masih berjaya menanggung rakyat yang miskin atau memerlukan sumbangan, tidak seperti negara lain. Syukur kepada Allah negara kita juga mempunyai fasiliti yang sangat baik melawan wabak ini. Terima kasih rakyat Malaysia, sokongan dan kesabaran anda insyaAllah akan berakhir dengan kejayaan.
Jangan didengar suara penghasut untuk membenci kerajaan yang sedang bertindak dengan sangat baik. Mereka hanya mahukan negara hancur bagi melangsaikan dendam mereka. Berdiri kita bersama-sama pejuang negara yang sedang berjuang. Kita mesti menang.
Mohd Nasir Abdullah
21 April 2020