Elok Juga Menteri Kabinet Membayar Minyaknya Sendiri

760

Gesaan daripada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli supaya menteri dan seluruh anggota kabinet membayar petrol mereka sendiri adalah cadangan yang menarik. Mungkin ada yang berpandangan cadangan ini sebagai pandangan nakal mengusik pemimpin negara, namun ramai pula bersetuju dan menerima pandangan tersebut sebagai bernas dan munasabah.

Pemimpin kerajaan sepatutnya menerima cabaran tersebut dengan hati terbuka. Tidak perlu mereka melenting kerana ia pandangan dari golongan yang merasai keperitan rakyat di bawah dalam keadaan pemimpin negara tidak merasainya. Pemimpin Pakatan Rakyat duduk bersama rakyat dan tahu erti kesukaran hidup hasil kenaikan harga minyak kerana mereka juga sebahagian dari rakyat. Berbanding dengan pemimpin negara dan menteri kabinet yang tidak merasai langsung kesan dari kenaikan itu kepada dirinya dan keluarga kerana hidup mereka serba serbi percuma.

Rakyat lebih mengetahui pendapatan bulanan menteri kabinet keseluruhannya, daripada rumah, kereta, telefon, pemandu, keraian, dan lain-lain yang menelan belanja sehingga mencecah RM 50,000 sebulan. Rakyat mengetahui berapa besar rumah menteri mereka, banyak mana kereta menteri dan ke mana mereka melancong setiap tahun. Tidak perlu disembunyikan dalam keadaan zaman teknologi maklumat hari ini yang semakin berkembang.

Tambahan pula, rakyat merasa muak melihat gaya hidup mewah pemimpin negara yang berbelanja dan hidup dalam kekayaan sedangkan rakyat dihimpit dengan pelbagai tekanan yang membelenggu. Lebih memualkan apabila mendengar kenyataan pemimpin negara yang memandang remeh kenaikan harga minyak dengan kenyataan kenaikan tersebut tidak membebankan rakyat, harga minyak negara masih antara terendah di dunia, tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan lain-lain lagi.

Elok juga menteri-menteri kabinet membayar sendiri kos petrol mereka, membayar tol, telefon dan lain-lain untuk urusan peribadi mahupun melaksanakan tugas negara. Rakyat ingin juga mendengar menteri-menteri kabinet mengeluh terbeban dengan kenaikan-kenaikan tersebut sebagaimana rakyat mengeluh. Mereka lebih patut membayar minyak petrol sendiri dengan jumlah pendapatan mereka yang sebegitu. Baharulah dilihat adil dan seimbang kerana pemimpin dan rakyat tidak ada bezanya dengan sama-sama menanggung bebanan hidup. – RIDUAN MOHD NOR, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia