Eidul Adha; Menjejaki keyakinan Hakiki Ibrahim AS

771

Bismillah. Segala puji bagi Allah yang menguasai sekelian alam ini. Tiba kita pada hari kebesaran Islam iaitu Eid Adha. Besarnya pengertian Eid Adha kepada kita kerana didalamnya mengandungi ibadah haji. Dinyatakan pula dari mulut Rasulullah s.a.w yang mulia bahawa 10 hari terawal bulan Zulhijjah ini adalah hari-hari yang disukai oleh Allah. Hari yang sangat cocok memperbanyakkan ibadat. Dalam meraikan hari yang besar ini, kita tidak akan terlepas dari mengaitkannya dengan keluarga bapa kepada agama hanif iaitu nabi Ibrahim a.s. Contoh dan teladan yang ditunjukkan oleh baginda, seharusnya kita sebagai orang yang mengaku beriman mengambil iktibar yang sebanyak-banyaknya daripada baginda.

Baginda seorang yang digelar dalam al-Quran seorang yang penghiba, seorang yang penyabar terhadap kaumnya, rajanya serta bapanya dalam menyampaikan agama Allah. Beliau juga sangat berkeyakinan tinggi terhadap apa jua keputusan dari Allah kerana mempercayai bahawa Allah tidak akan mensia-siakan dirinya. Baginda meninggalkan isteri dan anaknya berdua di tengah-tengah padang pasir yang tandus dan di lembah yang gersang dari air dan makanan. Isteri yang disayangi serta anak lelaki yang sekian lama ditunggu kelahirannya, dengan perintah Allah, baginda terpaksa berpisah sebagai ujian kenabiannya.

Begitu hebat baginda mendidik isterinya, sehinggakan si isteri tidak merasakan goyah keyakinannya ditinggalkan di lembah gersang itu apabila Ibrahim mengesahkan bahawa perlakuannya itu adalah atas perintah Allah dan isterinya begitu yakin menjawab yang Allah pasti tidak akan mensia-siakan mereka berdua. Itulah keyakinan mereka terhadap janji-janji Allah, terhadap rezeki dan ajal maut mereka. Mereka tekad menyerahkannya kepada Allah. Tidak hanya isterinya terdidik dengan keyakinan kepada Allah itu, anaknya juga ditunjangi keyakinan yang sama apabila bersedia untuk mati seketika menerima arahan untuk dijadikan korban kepada Allah. Malah dengan kekuatan dalaman hasil tarbiyyah bapa kepada ibu, ibu kepada anaknya dan anaknya kepada isterinya. Terbukti keyakinan kepada Allah apabila Ibrahim a.s yang menziarahi anaknya yang ketika itu tiada di rumah kerana keluar berburu, disambut oleh menantunya yang tidak tahu bersabar dan lupa mengucapkan syukur dengan ujian kehidupan, lalu diisyaratkan Ibrahim a.s kepada anaknya agar menceraikan isteri yang tidak tahu bersyukur itu.

Dan apabila didatangi kali kedua Ibrahim ke rumah anaknya dan disambut oleh menantu baru baginda yang sentiasa melahirkan rasa syukur dan yakin kepada Allah serta sabar, walaupun dengan keadaan yang diketahui payah, maka Ibrahim mengisyaratkan kepada putera kesayangannya agar mengekalkan isteri yang tahu bersyukur dan yakin itu. Hasil dari pasangan yang redha kepada ketentuan dan yang berkeyakinan tinggi terhadap Allah ini, dari zuriat mereka, maka lahirlah benih yang mulia iaitu Muhammad Bin Abdullah s.a.w, keturunannya nabi Ibrahim yang menuruti keyakinan nenek moyang baginda, dan memelihara agama Allah yang hanif iaitu agama Islam yang lurus yang akan membawa manusia menuju kemuliaan dunia dan akhirat jika menurutinya dengan benar.

Dapatkah kita lihat dalam sirah nabi Ibrahim ini, bahawa ketaatan dan keyakinan kita terhadap Allah akan membuahkan hasil yang begitu gemilang bukan sahaja di dunia malah di akhirat lebih-lebih lagi? Sehinggakan keturunan baginda dimuliakan Allah. Inilah kualiti yang tertinggal dalam diri orang-orang Islam masakini. Kehilangan keyakinan terhadap Allah menghumbankan mereka ke lembah yang hina. Kualiti keyakinan kita kalau adapun sangatlah rendah dan lebih malang kerana kita kelihatan sepertinya sudah tiada lagi keyakinan terhadap Allah.

Keruntuhan akhlak umat Islam adalah hasil daripada kehilangan keyakinan kepada Allah. Kita hanya dilihat menjalankan ritual-ritual Islam yang kadang kala tiada kita faham apakah makna disebalik ibadat kita itu. Lebih menyayatkan hati ibadat-ibadat itu ditambah dengan sesedap rasa kerana tiada kefahaman terhadap ilmu dan keyakinan terhadap Allah. Hasil dari penyelewengan-penyelewengan ibadat dan keyakinan ini, maka timbullah berita-berita tentang rasuah, pecah amanah, penyelewengan itu dan ini, seperti isu penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara berkenaan perbelanjaan yang begitu rakus tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab terhadap duit rakyat. Islam tidak pernah mengajar penganutnya melakukan hal yang demikian, membaham segala yang diamanahkan kepada mereka dengan cara yang batil. Islam yang asalnya indah, menjadi hodoh hasil dari perbuatan golongan ini.

Kejahatan inil adalah hasil dari hilangnya keyakinan manusia terhadap Allah, tiada lagi rasa gerun akan janji azab dan tiada rasa kenikmatan terhadap janji nikmat bagi yang melakukan kebaikan. Tiadalah pernah sampai ke telinga kita bahawa para anbia yang yakin dengan janji-janji Allah, mengerjakan penyelewengan bagi menjaga kepentingan diri, tidak pernah sama sekali. Penyelewengan hanya terjadi bermula dari hati yang kotor, jauh dari keyakinan yang benar terhadap Allah dan sering memikirkan habuan dunia sahaja. Bagi mereka yang hilang keyakinan terhadap Allah, dunia inilah tempatnya mereka mengumpulkan segala-galanya.

Tidak sebagaimana keyakinan para rasul seperti yang dinukilkan dalam surah as-Syuaara apabila kesemua nabi Nuh, Hud, Saleh, Lut serta Syuaib menegaskan kepada kaum mereka bahawa “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepad Allah tuhan sekelian alam. Bermaksud mereka tidak mengejar kesenangan atau balasan di dunia apatah lagi secara batil. Inilah dia, bagi yang hatinya yakin sepenuhnya terhadap Allah, mereka menunggu saat ketika Allah melaksanakan pembalasan untuk mendapatkan bahagian mereka yang hakiki.

Maka sayugialah kita semua bersempena Eid Adha ini, bersama-sama mengikut jejak-jejak tinggalan nabi Ibrahim a.s serta keluarga baginda atas keyakinan mereka yang hakiki, tiada kegoyahan sedikitpun terhadap Allah. Kita bina keyakinan itu dari dalam diri, kita bentuk ia dalam keluarga kita dan seterusnya kepada masyarakat kita agar keyakinan itu akan menghalang segala penyelewengan dan kejahatan yang ada di sekeliling kita. Takutlah Allah, yakinlah bahawa balasan azab dan nikmat itu benar maka insyaAllah kita akan menjadi insan yang bertaqwa. Wallahua’lam.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong