Dungun Ungguli Ahli Baru Paling Ramai

1643

Oleh : M. Shukeri.

KUANTAN- PAS Kawasan Dungun telah berjaya mengungguli Anugerah Pendaftaran Ahli Baru PAS paling ramai untuk bulan Februari dengan jumlah 777 orang di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 65.

Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata pertambahan ahli baru yang dimenangi itu adalah dengan pemerkasaan parti menerusi penguasaan dua sayap yang paling penting iaitu Pemuda dan Muslimat PAS kawasan itu.

“Melalui penambahan ahli baru ini kita dapat melihat bahawa apa yang kita rencanakan berjaya mengerakkan ahli baru.

“Serta kita dapat melihat adanya dari kalangan pengundi muda dan juga muslimat yang telah mula bersama dengan PAS pada pasca pilihanraya umum yang lalu, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke-65, di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, di sini pada Jumaat 21 Jun.

Menurut Wan Hassan, kedua-dua sayap itu akan diberi penumpuan dan perhatian khusus dalam menambahkan lagi keahlian selepas daripada ini.

“Dengan anugerah yang kita dapat pada hari ini ianya merupakan satu kejayaan buat PAS Kawasan Dungun.

“Kita akan sentiasa berusaha menambahkan keahlian ahli baru sebagaimana yang dihasratkan oleh Presiden dan juga saranan dari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPNT), ” jelasnya.

Sehubungan itu, Setiausaha PAS Kawasan Dungun, Abdul Hamid Ismail berkata, penambahan ahli paling ramai itu juga berikutan kejayaan tertubuhnya cawangan-cawangan yang baru.

“Iaitu dengan wujudnya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN),
selepas PAS memenangi Negeri Terengganu,” jelasnya.