DUN Bandar Hantar Bantuan Ke rumah

134

KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bandar mengambil inisiatif, menghantar Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) ke rumah-rumah, bagi memastikan tiada penduduk yang layak tercicir daripada sumbangan kerajaan PAS itu.

Pengerusi MTD, YB Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen dan DUN terbabit, barangan keperluan harian tersebut dapat diserahkan kepada keluarga yang terjejas.

“Dalam keadaan ramai yang terjejas dengan PKP ini, kami di PKM Bandar hampir setiap hari masuk ke kampung menyampaikan bantuan daripada kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Haji Ahmad Amzad Hashim.

“Selain itu juga, JPKK di seluruh DUN Bandar juga telah pergi ke rumah mereka yang tidak dapat bekerja bagi menyara keluarga untuk menyampaikan barang keperluan ini,” jelasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Oleh itu, beliau yang juga ADUN Bandar berharap agar pihak PAS Cawangan dan JPKK mengambil perhatian sebarang masalah yang dihadapi rakyat, sepanjang masa.

“Jika masih ada di kalangan penduduk dan pengundi DUN Bandar yang masih belum menerima apa-apa sumbangan, dan dia layak menerima sumbangan tersebut,

“maka bolehlah berhubung dengan JPKK atau menghubungi pihak PKM Dun Bandar,” tegasnya.

Dengan bantuan kali ini, kata beliau, walaupun ianya tidak dapat menampung keseluruhan, sekurang-kurang ia dapat meringankan bebanan yang telah dihadapi.

“InsyaAllah pihak PKM Bandar akan terus berkhidmat untuk rakyat sehingga pandemik ini berakhir,” tambahnya