DUNGUN – Setelah dua tahun tercetusnya operasi ketenteraan mengejut ‘Taufan Al Aqsa’ oleh pejuang kemerdekaan Palestin, Briged Izzuddin Al-Qassam, darah para syuhada terus mengalir silih berganti di bumi Gaza.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyifatkan 7 Oktober 2023, bukan sekadar angka dalam kalendar, tetapi noktah berdarah yang menyayat hati seluruh umat Islam.
“Pada hari itulah tercetusnya Taufan Al-Aqsa, satu peristiwa yang menggegarkan dunia menyaksikan bumi Gaza dibanjiri darah para syuhada dan runtuhnya bangunan bersama tangisan anak kecil yang kehilangan segalanya,” luahnya dalam satu kenyataan media semalam.
Namun hingga kini, tambahnya , tiada hentinya serangan ke atas bumi yang dijanjikan barakah itu, hari berganti minggu, bulan berganti tahun dan pada September yang lalu, angka syuhada telah pun mencecah 65,000 orang, setiap satu jasad yang gugur bukan sekadar angka, tetapi nyawa yang mempertahankan maruah umat.
“Bicara soal Al-Quds tidak boleh disimpan dalam diam, dia bukan isu bangsa, bukan isu politik tetapi isu aqidah dan maruah Islam, saat saudara kita terus ditekan, dipijak dan diperlekeh, adakah kita masih mahu berdiam diri?
“Wahai umat Muhammad, jangan biarkan doa kita sepi, teruskan qunut nazilah di setiap solat, teruskan solidariti dan suara kita, kerana setiap lafaz doa, setiap titis air mata, adalah tanda bahawa umat ini belum mati,
“selagi bumi Al-Quds belum bebas, kita tidak akan berhenti bersuara.kerana perjuangan ini bukan milik mereka sahaja tetapi amanah kita semua,” tegasnya.