Oleh : Mohd Nor Hamzah
Setelah dua minggu kita ‘menikmati’ dan dalam kita cuba menilai sejauh manakah keberkesanan GST dalam memenuhi hasrat yang digariskan oleh kerajaan atas apa yang kerajaan gelarkan sebagai cukai yang memberikan kemakmuran, menurunkan harga barang, memudahkan system percukaian dan banyak lagi ‘kelebihan-kelebihan’ GST yang kerajaan gariskan ketika memulakan GST dulu. Tidak hanya dengan semua ini, dikhabarkan juga rakyat gembira dengan GST ini serta menjadikan mereka lebih berjimat cermat, pandai memilih kedai dan membandingkan harga jualan sebelum membeli, ternyata hanyalah omong kosong belaka.
Kita sangat memahami kenyataan-kenyataan separuh masak dari pimpinan Umno terutamanya dalam menghadapi kemarahan rakyat tidak lebih hanyalah sebagai ulang tayang alasan-alasan lapuk yang dikitar semula untuk disuapkan ke mulut-mulut rakyat dengan sangkaan rakyat lebih bodoh daripada mereka. Sangat jarang kita dengar pujukan-pujukan bodoh pimpinan MCA atau MIC kepada penyokong mereka atas nama GST ini yang mana mungkin mereka juga tidak bersetuju dengan Umno ataupun mungkin lebih daripada itu, mereka tidak sanggup memperbodohkan pengikut mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Umno kepada penyokong mereka.


Bagi yang tidak dilayakkan oleh kerajaan untuk mengenakan GST kepada pelanggan, mereka tidak bersusah hati, mereka ada cara percukaian mereka sendiri. SPAD contohnya telah menaikkan harga tambang sebanyak lebih kurang 40 peratus, hampir tujuh kali ganda GST sebelum GST itu sendiri muncul. Yang tertekan ialah peniaga-peniaga kecil yang dikenakan GST oleh pengedar. Mereka tersepit antara mahu menyerap GST atau mengenakannya kepada pelanggan. Dengan syarat jualan tahunan melebihi RM500 ribu, maka mustahil bagi peniaga-peniaga kecil akan mendaftarkan diri mereka dengan Kastam. Disinilah terjadinya dilema. Sehinggakan ada yang berbalah dengan pelanggan. Ini semua hasil dari ketololan kerajaan kerana melaksanakan GST tanpa menurunkan harga barang terlebih dahulu. Namun, bagaimana kerajaan boleh diharap untuk menurunkan harga barang sedangkan apabila terjadi penurunan harga minyak contohnya, mereka gagal dan mungkin tidak mahu menurunkan harga barang kerana jelas sekarang ini, kantung kerajaan hampir kering disedut.
Dengan masalah hutang kerajaan yang mencecah hampir 750 billion, huru-hara pengurusan 1MDB, pemborosan pembelian jet kerajaan dengan nilaian jutaan ringgit, skandal yang melibatkan individu yang bukan dari kerajaan dalam 1MDB, cadangan menaikkan umur bagi pengeluaran KWSP adalah tanda-tanda jelas kewangan negara dalam keadaan bahaya. Kesannya akan dirasakan oleh semua lapisan rakyat termasuk penyokong tegar Umno-BN, kecuali menteri-menteri Umno yang mungkin masih boleh menggadaikan jam-jam mewah mereka jika terdesak. Sangat jelas isyarat kejatuhan system kewangan kita sehinggakan Tun Dr Mahathir sendiripun sekarang sedang menghalakan senapang perangnya kepada Dato’ Seri Najib kerana menurutnya, Najib sedang membawa masalah kepada negara.


***YB Ustaz Mohd Nor Hamzah adalah Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu yang juga ADUN Bukit Payong





























