Dinamika Politik Mutakhir Desak DHPP Lebih Segar

68

KUALA TERENGGANU – Dinamika politik mutakhir ini mendesak untuk Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) nampak lebih segar dan dilihat mampu menjadi suara kepada kaum lain untuk terus releven di arus massa.

Ketua Penerangan DHPP Pusat Dr. Balachandran berkata, justeru itu sayap PAS itu membuka tirai 2024 dengan mengadakan Program Permukiman (Retreat).

Katanya, DHPP berazam menjadi ‘jambatan’ menghubungkan PAS dengan semua kelompok nasyarakat bukan Islam di negara ini.

“DHPP menyedari peranan untuk menyantuni masyarakat bukan Islam bagi mewakili PAS sebuah parti yang membawa perjuangan Islam tidaklah semudah disangkakan,

“namun kami cuba berusaha untuk menjadikan DHPP sebagai ‘platform’ utama masyarakat bukan Islam serta menepis dakwaan bahawa hanya DAP sahaja yang mampu membela masyarakat bukan islam di negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata, seramai 52 orang anggota DHPP seluruh negara menyertai ‘retreat’ tersebut yang berlangsung selama dua hari di sebuah hotel, di sini.

Menurutnya, mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa DHPP negeri, ketua-ketua DHPP Negeri serta ahli jawatankuasa kerja DHPP Pusat.

Oleh itu, beliau menambah, DHPP akan bergerak seiring dengan keperluan semasa komunikasi dengan memanfaatkan teknologi dan media sosial.

” DHPP juga menyedari kini, landskap politik negara banyak dipengaruhi oleh paparan media sosial. Oleh yang demikian DHPP harus memanfaatkan platform media sosial yang ada untuk memberi gambaran sebenar bahawa DHPP adalah juara bagi mewakili kaum bukan Islam,” ujarnya lagi.

Program telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu,Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, manakala majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.

Dalam ucapannya, Datuk Amzad Hashim memberitahu bahawa tumpuan dalam retreat PAS Pusat baru-baru ini adalah untuk menjayakan konsep PAS FOR ALL.

Kata beliau, DHPP berperanan dalam memberi penerangan kepada bukan islam supaya tidak berlakunya apa yang dikatakan sebagai islamofobia yang menjadi punca sokongan masyakarat bukan melayu terhadap Perikatan Nasional masih kurang.

“Negara yang ingin dibina perlu mengambil kira aspirasi seluruh masyarakat, Kita mahu DHPP mempelbagaikan pendekatan agar masyarakat nampak peranan yang dimainkan oleh mereka,” jelas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.

Hadir sama YBrs Encik N. Balasubramaniam, Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat dan YBrs. Encik Lim Guan Seng, Timbalan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat.