Dapur KAMI ‘Sepolok’ Masyarakat

1962

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Biasa bagi pengamal media hadir ke lapangan untuk membuat liputan dan menghidangkan berita bagi tatapan masyarakat.

Jarang sekali didengar pengamal media hadir ke lokasi terjejas bencana, bersama menyalakan api, menyediakan kawah bersenjatakan senduk dan sudip lalu menyinsing lengan untuk menghidangkan santapan makanan bagi dinikmati masyarakat yang ditimpa musibah.

Inilah keunikan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu. KAMI bergerak ke serata lokasi yang ditimpa bencana dalam dan luar negara.

Jika majoriti agensi media akan membawa bersama mereka ‘senjata orang media’ seperti kamera, video camera serta alatan rakaman yang lain maka KAMI juga tak terkecuali. Malah KAMI memiliki drone sendiri bagi menghadirkan view foto serta video yang lebih menarik kepada khalayak.

Tetapi ada sesuatu yang tak dibawa agensi media lain iaitu kenderaan pickup yang penuh dengan barangan sumbangan keperluan harian, periuk belanga, dapur, balang gas memasak, senduk dan sudip serta barangan mentah makanan untuk dimasak.
Inilah dia Dapur Rakyat KAMI!

Bagi musim banjir yang berlaku menjelang akhir tahun 2016 serta awal tahun 2017, KAMI telah mengadakan Program Dapur Rakyat dengan tema ‘Media Cakna’ di tiga lokasi terjejas banjir iaitu di Kampung Kepah, Hulu Terengganu, Kampung Keruak Hulu Besut dan yang terkini semalam 24 Januari 2017 di Kampung Ponok Bukit Tanah, Jabi.
Istimewa kerana Ponok adalah tanah tumpah darah tempat lahir Pengerusi KAMI.

Ponok berasal dari perkataan ‘Polok’ iaitu sebutan ringkas bagi ‘Sepolok’. Dalam bahasa tempatan ‘Sepolok’ bermakna sekumpulan. Ia bermakna sekumpulan masyarakat yang membina kehidupan bersama di satu lokasi kawasan lembah di tepi Sungai Gong Macang yang bersambung dengan Sungai Kluang Besar. Terdapat 15 buah rumah yang tinggal ‘sepolok’ di sini. Sekarang dikenali sebagai Ponok.

Memang datuk nenek kita dulu mencari kawasan lembah tepi sungai untuk membina kehidupan termasuklah arwah datuk saya, Mat Saman bin Mamat. Sungai adalah nadi kehidupan mereka mencari rezeki. Tanah lembah boleh dibuat bendang padi walaupun tiada sistem pengairan yang teratur.

Saya lahir dan menetap di Ponok sehingga umur 6 tahun sebelum keluarga kami berpindah tinggal ke kawasan yang berdekatan dengan jalan besar Kampung Bukit Tanah.

Di Ponok inilah tempat ayah bonda dan kami sekeluarga mencari rezeki dengan bercucuk tanam. Tanam tembakau, sayur, ubi keledek, pelihara lembu dan macam-macam lagi. Dengan bangganya saya maklumkan, saya melalui zaman persekolahan membesar dalam baruh di Ponok.

Kerana itulah Program Dapur Rakyat KAMI di Ponok semalam memberikan makna yang sangat mendalam bagi Pengerusi KAMI. Baik tua atau muda, yang hadir bersama bergotong-royong memeriahkan program semalam adalah kawan-kawan serta sahabat rapat. Mereka dah kenal saya sejak dari zaman kanak-kanak, pakai seluar pendek mandi sungai lagi. Inilah nilai keakraban hidup bermasyarakat orang kampung yang penuh keharmonian.