DAP Jangan Cuba Alihkan Krisis Dalaman Kepada PAS

420

PAS memandang keras kecaman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang membandingkan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau, dengan “pemimpin PAS yang ekstremis dan ketinggalan zaman yang mahu mengawal apa yang boleh atau tidak boleh dipakai oleh wanita” dan “pemimpin ekstremis PAS yang tidak bertolak ansur dan regresif”.

Ini kerana TIADA LANGSUNG pemimpin PAS yang membuat apa-apa kritikan atau memberi komen ke atas insiden yang tular berkenaan Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh memasuki sebuah masjid di kawasan Segambut dengan memakai tudung yang diselar oleh Dr Boo Cheng Hau dengan menyifatkannya sebagai “sekadar helah untuk menarik sokongan orang Melayu dan orang Melayu tahu apa yang DAP lakukan”.

Adalah amat tidak bertanggungjawab sekali bagi Lim Guan Eng untuk melibatkan PAS di dalam krisis dalaman DAP. Adakah ini cubaan Lim Guang Eng untuk mengelirukan rakyat dan ahli DAP menjelang pemilihan pemimpin tertinggi DAP dalam Kongres Kebangsaan DAP yang sepatutnya diadakan pada 20 Jun lalu tetapi ditangguh ke satu tarikh yang bakal ditetapkan kelak dengan menggunakan alasan penularan kes wabak COVID-19 yang sangat tinggi ketika itu.

Dasar perjuangan Islam tidak sesekali menjadikan pemimpin PAS ekstremis, yang tidak bertolak ansur, ketinggalan zaman dan regresif, khususnya dalam masyarakat majmuk di Malaysia. PAS istiqamah dalam soal prinsip tetapi anjal dalam soal pendekatan, termasuk dalam menangani hak-hak bukan Muslim di negeri-negeri milik PAS.

Sebaliknya, DAP dengan dasar Malaysian Malaysianyalah yang selama ini ternyata ekstremis! DAP sering cuba mengocak kolam keharmonian kaum dan agama di negara ini melalui usaha-usahanya yang mempertikaikan kontrak sosial mahupun struktur-struktur asas Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

PAS memberi AMARAN kepada Lim Guan Eng dan pemimpin DAP lain supaya berpolitik secara matang dan tidak cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada melihat krisis kepimpinan dan krisis identitinya yang semakin membarah kebelakangan ini, sehingga menyaksikan ia ditolak oleh pengundi Melayu dan sebahagian pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, kepada PAS.

Senator Khairil Nizam Khirudin
Ketua Penerangan PAS Pusat