DAP Cakap Tak Serupa Bikin!

296

KUALA TERENGGANU – DAP disifatkan sebagai ‘cakap tak serupa bikin’ dalam isu projek rundingan terus tender Kerajaan Persekutuan.

Naib Yang DiPertua PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, seorang pemimpin DAP pernah berjanji melaksanakan tender terbuka apabila memerintah negara.

Bagaimanapun janji itu hanya tinggal janji apabila ia tidak dilaksanakan selepas mengambil alih Putrajaya selama 22 bulan.

“Giliran orang dituduh tak adil, tidak ikut merit, tak telus.

“Giliran DAP, Itu adalah perkara lumrah dalam kerajaan, ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu mengulas kenyataan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meluluskan sebanyak 101 kontrak rundingan terus bernilai RM6.61 Bilion dalam tempoh tersebut.

Katanya, bilangan 101 kontrak rundingan terus bernilai RM6.61 Billion untuk tempoh 22 bulan adalah pelik dan bukan ‘lumrah’.

“Perlu disemak rekod kerajaan lalu pernahkah ada sehingga lebih 100 kontrak rundingan terus melibatkan nilai sebesar itu untuk tempoh sesingkat 22 bulan seperti itu.

“Saya fikir untuk nilai seperti itu, pendedahan YB Azmin Ali bahawa ia tidak dibawa ke Kabinet sangatlah luar biasa dan bukan lumrah.

“Lebih aneh , ia dikatakan lumrah oleh PH yg mencanangkan tiada lagi kontrak secara rundingan terus, semua tender terbuka, ” ujarnya.