KUALA TERENGGANU – Pelbagai Tohmah yang berlegar dalam ruang ‘maya’ dengan pelbagai dakwaan negatif terhadap Himpunan Fastaqim 2.0 adalah usaha pihak tertentu memadamkan gelombang ‘hijau menuju kemenangan’.
Setiausaha Jawatankuasa Induk Fastaqim 2.0, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, mereka merasa tertekan dengan kebangkitan ‘tsunami Islam’ berikutan kejayaan penganjuran himpunan tersebut.
“Apabila tertekan, mereka timbulkan macam-macam cerita,” ujanya ketika dihubungidi sini, semalam.
Antara dakwaan negatif tersebut, kata beliau, termasuklah menuduh PAS Pusat membelanjakan sebanyak RM30 juta menganjurkan himpunan tersebut.
Nurul Islam menegaskan dakwaan tersebut tidak benar sama sekali sebaliknya memberitahu anggaran kos perbelanjaan adalah jauh lebih rendah berbanding yang digembar-gemburkan walaupun mengakui kos keseluruhan masih belum dikira sepenuhnya buat masa ini.
“Kalau ada RM30 juta, kita buat di stadium sahaja dan kita juga boleh beri makan kepada semua yang hadir (tetapi) yang hadir program (Fastaqim 2.0) belanja sendiri, ambil bas sendiri untuk sampai sana (ke Himpunan Fastaqim), hotel (bayar) sendiri, semua sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan berhubung senarai perbelanjaan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat termasuk kos duit sara diri bagi setiap orang iaitu RM100 yang boleh dituntut semasa perjalanan dalam bas masing-masing melibatkan jumlah 242,280 orang.
Kesemua kos berkenaan turut didakwa telah dimasukkan Pejabat Perhubungan PAS melalui peringkat negeri masing-masing.
Nurul Islam menegaskan, tiada satu sen pun bayaran diberi oleh PAS kepada ahli-ahli parti yang hadir sebaliknya ahli-ahli dan penyokong Pas pula yang menyumbang kepada parti dalam memastikan perhimpunan berjalan lancar.
Jelasnya, sumbangan ahli-ahli bukan sahaja dari bentuk kewangan termasuk derma dan wakaf, malah sokongan material serta tenaga untuk melancarkan perjalanan himpunan.
“Contoh kita hendak buat tandas, ada di kalangan ahli kita yang ada kemahiran dan dia tawar diri untuk buat, jadi kita keluarkan kos kayu (untuk bina tandas).
“Jadi di situ banyak yang kita jimatlah contoh untuk unit keselamatan, kita sediakan bot-bot takut ada yang jatuh dalam air (di Pantai Tok Jembal). Itu semua diberi oleh ahli kita yang mempunyai bot. Lagi banyak datang daripada ahli sendiri. Tiada yang kita belanja besar,” katanya.
Beliau berkata sumbangan ahli juga tidak terbatas dalam aspek itu sahaja, malah tujuan pembersihan kawasan pantai, pihaknya tidak mengeluarkan peruntukkan besar.
Ini berikutan 100 sukarelawan PAS terlibat membersihkan semua kawasan termasuk di kawasan peniaga dan juga masjid lama Tok Jembal kerana yakin ahli dan penyokong PAS menggunakan tempat tersebut semaksimum mungkin selama dua hari program berlangsung.
Selain itu sebanyak lima kenderaan pacuan empat roda dan empat buah lori digunakan untuk mengangkut sampah turut disediakan oleh ahli-ahli yang memiliki kemudahan tersebut, begitu juga dengan peralatan membersihkan kawasan dibawa sendiri oleh ahli-ahli Pas.
Jelasnya, soal makan minum bagi petugas yang menjalankan kerja-kerja kebersihan selama dua hari bermula 1 Oktober lalu turut ditaja ahli PAS sendiri khususnya yang merupakan pemilik restoran.

“Tiada yang kita perlu bayar besar-besar. Tiada! Kebanyakan mereka sediakan, ada yang kita kena bayar juga cuma kebanyakan ahli kita banyak menyumbang,” katanya.
Beliau juga turut menafikan arahan daripada PAS supaya mengerahkan pelajar-pelajar tahfiz ke program Fastaqim sambil memberitahu, sekalipun ada yang hadir, mereka datang atas tiket peribadi dan bukannya mewakili institusi tertentu.
Katanya, jemputan menghadiri Fastaqim 2.0 dibuat secara terbuka melalui promosi dan sidang media, tanpa ada jemputan khusus termasuk kepada pemimpin-pemimpin Pas.
“Setakat ini, kita pun tidak pernah dengar mana-mana pihak tahfiz (kerah pelajar dia). Tiada (yang datang mewakili tahfiz). Yang datang pun secara persendirian,” katanya.
Dakwaan lain yang cuba menjejaskan himpunan tersebut termasuklah ia dipenuhi najis manusia dan juga gambar seseorang membuang air sambil berdiri yang dikatakan pelakunya adalah ahli PAS.
“Jadi cubaan-cubaan ini pada saya hendak padamkan gelombang hijau. Jadi kita sentiasa sedar dengan fitnah-fitnah tersebut. Kalau boleh jawab, kita jawablah,” katanya.
Beliau memberitahu turut menyifatkan penyebaran lapan nama yang dikatakan akan menyertai PAS termasuk bekas pegawai kanan kerajaan dan yang akan diumumkan pada himpunan Fastaqim lalu sebagai perang saraf dan direka-reka pihak tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim turut menyatakan bahawa peringkat PAS Pusat atau Mesyuarat Panitia Fastaqim 2.0 tidak pernah menyebut nama-nama seperti bekas hakim, bekas ketua Wanita Umno dan beberapa nama lain kononnya akan diisytiharkan masuk PAS atas pentas Fastaqim 2.0.
“Tiba-tiba keluar senarai nama-nama tersebut yang tersebar merata-rata. Ini dinamakan perang saraf. Musuh buat kemudian mereka tuduh kita sebar.
“Tujuannya mudah saja. Nak tuduh PAS berbohong bagi menenggelamkan kejayaan Fastaqim 2.0 dan menutup kegagalan pelbagai program lain yang dianjurkan oleh pihak lain di sekitar Kuala Terengganu pada masa dan tarikh yang sama,” katanya.











