‘Countdown’ 100 Hari PRU14

1660

Oleh : KAM
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu akan melancarkan satu program khas sebagai persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, pada 16 Disember depan di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata program itu dinamakan ‘Countdown 100 Hari PRU14’ PAS Terengganu.

Katanya, Countdown 100 hari PRU14 itu diadakan lanjutan dari ledakan kebangkitan rakyat dan jentera PAS dalam program Fastaqim 2.0 di Tok Jembal, Kuala Nerus baru-baru ini.

“PAS Terengganu melihat bahawa kebangkitan dan momentum dalam masyarakat hari ini mesti diteruskan.

“Jentera PAS mesti ‘dibarakan’ semangat mereka untuk bekerja bagi mendekati seluruh pengundi dan melaksanakan agenda-agenda jentera pilihan raya. Jangkaan kita pembubarkan Parlimen akan berlaku pada bulan Mac 2018, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Lajnah Penerangan PAS Terengganu di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, di sini, hari ini.

Menurutnya, sempena program itu tiga perkara besar yang menjadi agenda parti akan diperjelaskan kepada seluruh jentera PAS disemua peringkat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung menjelaskan tiga perkara itu pertama, mengenai tawaran awal 15 perkara Manifesto PAS Terengganu untuk dibawa kepada rakyat.

Ini penting, katanya agar rakyat dapat melihat bahawa tawaran PAS itu merupakan satu janji besar yang tidak mampu dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kedua, WINS dan Ketiga, Dokumen Hijau mengenai Gagasan PAS dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara, supaya seluruh jentera PAS faham mengenai tiga perkara itu untuk disampaikan kepada rakyat dan pengundi dalam tempoh 100 hari itu.

“Kita (PAS) harap dalam tempoh itu, semua perkara itu dapat difahami dan dapat mengubah minda rakyat serta sikap pengundi untuk membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Ustaz Mohd Nor, seluruh jentera parti dan bilik gerakan akan disempurnakan sebelum PRU14 dalam masa 100 hari itu.

“Bagi hendak menggambarkan bahawa ‘semboyang’ pilihan raya telah berbunyi, seluruh bilik gerakan dan tugas-tugas mesti disempurnakan bagi menghadapi pilihan raya itu.

“Insya’Allah, kita jangka dapat mengumpul jentera pilihan raya kita meski pun dalam suasana musim tengkujuh ini, sekitar 5,000 orang.

“Selepas bulan Disember ini, kita akan turun mendekati para pengundi dan menyuburkan segala gerak kerja di markaz-markaz kita (PAS). Kita akan susun program berterusan hingga pembubaran parlimen,” tegasnya.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Adun Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah serta wakil-wakil Lajnah Penerangan PAS Kawasan masing-masing.