Cemburu Dengan Kejayaan Pemuda PAS

156

KUALA TERENGGANU – Kejayaan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) dianggap menjadi kecemburuan parti lain terhadap Pemuda PAS apabila menjadi bualan ramai pihak.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata liputan meluas oleh media di peringkat nasional dengan palitan isu keganasan tidak sesekali membuatkan Pas lemah.

“Tahniah kepada pemuda kita kerana berjaya menarik perhatian umum terhadap penganjuran tahunan sejak puluhan tahun lalu.

“Dalam masa yang sama jangan sekadar lihat pada pakaian tetapi lihat apa yang pemuda Pas buat pada masyarakat. Bukan unsur keganasan namun agenda kebajikan mengatasi apa yang mereka pamerkan dalam perarakan.

“Mereka ni cemburu dengan apa yang ada dalam Pas, itu membuatkan mereka jadi rimas dan gelisah hingga mengecam sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis terhadap berita mengelirukan oleh Harian Metro di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Hishamuddin yang juga bekas pimpinan Pemuda PAS Terengganu menyatakan bahawa HIMPIT 2023 kekal dengan tujuan asal apabila menyatukan anak muda dalam tarbiyah, kebersamaan ukhuwah persaudaraan dan juga kebajikan.

“Rakyat Terengganu sendiri lebih kenal pemuda PAS berbanding pemuda Amanah dan sebagainya,” tambahnya.

Baru-baru ini, HIMPIT di sebuah resort Setiu tular apabila perarakan serta replika bertemakan pahlawan Islam ditafsirkan sebagai aktiviti keganasan.