Calon PN DUN Merotai Pantau Proses Undi Awal di PGA Tawau

74

TAWAU – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN N.72 Merotai, Haji Hasan Haris hari ini meluangkan masa turun padang bagi memantau proses pengundian awal yang berlangsung di Batalion 14, Polis Gerakan Am (PGA) Tawau.

Kehadiran beliau bertujuan memastikan proses berjalan lancar serta memberikan sokongan moral kepada para anggota keselamatan yang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

Menurut beliau, setakat jam 9 pagi, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 104 orang pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing daripada jumlah keseluruhan 561 pengundi yang berdaftar di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah saya lihat proses berjalan lancar. Terima kasih kepada pihak SPR dan semua petugas keselamatan yang telah memastikan perjalanan pengundian berjalan teratur,” katanya ketika ditemui media.

Beliau turut menyeru agar anggota keselamatan yang masih belum mengundi agar segera berbuat demikian tanpa menunggu ke saat akhir.

“Jangan tunggu last minute. Gunakan peluang ini sebaiknya. Setiap undi sangat bermakna demi masa depan negeri dan anak cucu kita,” tegas beliau.

Haji Hasan turut menyatakan bahawa undi anggota keselamatan amat penting dalam menentukan kepimpinan yang bersih, amanah dan berintegriti bagi negeri Sabah.

Beliau mengambil kesempatan itu untuk menyeru agar pengundi awal memberi sokongan penuh kepada calon nombor dua daripada Perikatan Nasional di DUN Merotai.

“Insya-Allah, jika diberi amanah, kami akan tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat Merotai. Undilah calon No. 2 Perikatan Nasional,” ujarnya penuh semangat.