Calon PAS Yakin Undi Dari Anggota Tentera

842

Port Dickson – Lt Kol (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar berkeyakinan pengundi dari kalangan anggota tentera bijak memilih untuk mengangkat calon yang akan membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.

Nazari yang merupakan calon PAS, P132 Port Dickson di dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) Port Dickson berkata sebelum ini, beliau memang sudah biasa berdiri di atas pentas PAS.

“Maknanya pengundi tentera di Port Dickson khususnya dan Negeri Sembilan amnya, memang mengenali saya sebagai pejuang untuk membela bekas tentera”, ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui ketika turun berkempen di Bukit Pelanduk di sini pada 5 Oktober.

“Sebenarnya kita berjuang untuk membela tentera dan isteri sebab antara apa yang kita perjuangkan adalah tanah, sebab ia termaktub dalam Majlis Angkatan Tentera 1973,

Jadi, katanya orang ini memang layak untuk diperjuangkan, semasa mereka dalam perkhidmatan,” begitulah antara sebab yang diberikan ketika ditanya keyakinan beliau yang anggota tentera akan mengundi beliau.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga dakwa beliau, telah tidak diuruskan dengan betul oleh kerajaan dahulu sehingga sekarang, tidak diambil tahu, sedangkan itu adalah hak anggota tentera.

Mengenai peratusan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu yang agak tinggi dalam PRK ini, beliau menerangkan bahawa Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) telah turut membantu berkempen dan juga ada anggota PKR yang telah bersama dengan PAS sekarang.

“InsyaAllah, bantuan dan strategi ini bakal menenggelamkan lawan-lawan beliau dalam PRK nanti”, ujar beliau melahirkan harapan.

Beliau turut bersyukur dengan isu pembubaran Bersatu Negeri Sembilan yang dianggap sebagai rahmat dari Allah kerana ia sekaligus menjadikan jentera Pakatan Harapan(PH) menjadi lemah.

“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga membuktikan ketidak- sefahaman mereka, bagaikan ada persengketaan”, sambungnya.

Akhirnya beliau membuat rayuan undi, merayu agar rakyat di Port Dickson memberikan sentuhan berbisa kepada PH.

“Tunjukkan bahawa penduduk awam dan tentera di Port Dickson ini tidak berpuashati dengan mereka”, katanya mengakhiri pertemuan petang itu yang mana berkebetulan juga seorang calon bebas, Tan Sri Isa Samad juga turut turun berkempen di tempat yang sama.