Buktikan Islam Satu-satunya Yang Betul

38

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ … ١٩

“Sesungguhnya, agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam…” [Surah Ali ‘Imran: 19]

Demikianlah penegasan daripada Allah, Tuhan Pencipta Alam Yang Maha Esa, Maha Mengetahui, dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan, di samping diimani oleh manusia secara fitrah (tabiat semula jadi atau naluri).

Kesempurnaan Islam kepada manusia memenuhi fitrah kejadiannya yang berbeza dengan makhluk yang lain. Manusia berjasad, berakal, dan bernafsu serta hidup secara bersendiri, berkeluarga, dan bermasyarakat.

Allah juga menyatakan bahawa seluruh manusia ialah satu keluarga besar dan wajib bermasyarakat madani (bertamadun). Madani ialah sifat fitrah kepada semua manusia.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali dan berhubungan! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Manusia seluruhnya bermasyarakat yang bersifat madani atau hadari (bertamadun), bukan hanya manusia di Malaysia sahaja.

Hanya Islam yang sempurna daripada Allah dapat memenuhi semua sifat fitrah pada kejadian manusia. Ajaran lain yang bernama agama atau ideologi tidak memenuhi semua sifat fitrah manusia, menyebabkan kerosakan kepada manusia dan alam kelilingnya. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Kerosakan terjadi disebabkan manusia yang lemah mencipta tamadun tanpa hidayah Allah yang tidak memenuhi sifat fitrahnya.

Para rasul dan anbiya’ dipilih oleh Allah dalam kalangan manusia untuk menjadi pemimpin teladan bersama ilmu wahyu dan ilmu dunia, merangkumi kebijaksanaan akal dan pengalaman hidup yang berbagai-bagai serta berubah-ubah pada zaman, di tempat, dan dalam umat yang berbeza.

Allah mengurniakan kepada Adam AS, manusia pertama bersama ilmu wahyu dan ilmu dunia melalui akal dan pengalaman hidup yang diwajibkan dengan fardu ain dan fardu kifayah. Kemudian, para anbiya’ dan rasul dipilih dalam kalangan manusia terbaik daripada zuriatnya.

Firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Selepas 10 abad kewafatan Adam AS, berlaku penyelewengan dalam kalangan manusia yang digoda oleh nafsu mengatasi akal, seterusnya menjadi bala tentera Iblis yang menolak tujuan penciptaan manusia oleh Allah dengan hikmah-Nya kerana sifat takabbur Iblis yang mempengaruhi mereka. Mereka mencipta ajaran sendiri dengan akal tanpa hidayah wahyu daripada Allah. Maka, berlaku kelompangan dan kekurangan yang merosakkan kehidupan mereka dan alam dunia.

Banyak negara yang mencipta tamadun tanpa hidayah Allah, mereka dimusnahkan dengan bencana kemajuannya melampaui sempadan fitrah.

Allah mengutus para rasul dan anbiya’ bagi membawa Islam yang sempurna kepada manusia dan alam dunia supaya beribadat kepada Allah, mentadbir alam dunia, dan menunaikan amanah berlaku adil kepada semua; kewajipan yang tidak berpisah daripada membawa tamadun berwawasan dunia hingga akhirat.

Pengutusan rasul berakhir dengan rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang menjadi rasul kepada seluruh alam dengan ajaran Islam paling sempurna bagi manusia seluruh dunia yang berubah kepada tanpa batas bangsa, perbezaan agama, dan sempadan negara. Pada zaman langit terbuka dan hubungan yang cepat, maka ajaran Islam mengandungi semua keperluan tersebut.

Para ulama’ membahagikan Islam kepada aqidah, syariah, dan akhlak dengan dua konsep:

Pertama: Perkara thawabit (perkara yang tetap dan tidak berubah) dalam rukun aqidah, syariah, dan akhlak serta naluri kejadian makhluk.

Firman Allah SWT:

فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ ٣٠

“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [Surah al-Rum: 30]

Kedua: Perkara mutaghayyirat (perkara yang berubah dan berbeza) dalam perkara kejadian alam.

Firman Allah SWT:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢

“Adakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik daripada apa-apa yang mereka kumpulkan.” [Surah al-Zukhruf: 32]

Maka, amal manusia berbeza mengikut kemampuan ilmu, tenaga, dan pengalaman. Ada kalangan manusia yang lebih kemampuan mereka dan ada pula yang kurang, menyebabkan kedudukan mereka dipecahkan. Ada yang tinggi taraf hidup mereka dan ada pula yang rendah. Dalam perkara agama, Allah mentaklifkan manusia mengikut kemampuan masing-masing. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ … ٢٨٦

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat dosa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya…” [Surah al-Baqarah: 286]

Kewajipan solat, puasa, zakat, dan haji dipertanggungjawabkan kepada yang berkemampuan dari sudut harta dan kesihatan. Berbeza kepada kalangan yang tidak mampu, mereka diberikan kemudahan atau digugurkan. Begitu juga dalam urusan dunia, terdapat perbezaan ilmu dan kemampuan antara satu sama lain. Maka, berlaku perbezaan kerja dan tugas. Ada yang tinggi kedudukannya dan ada yang rendah, di samping perbezaan kaya dan miskin serta saling mengambil manfaat dalam hidup bermasyarakat.

Perkara cabang daripada rukun dan fitrah juga tidak sama dalam kalangan manusia, contohnya antara lelaki dengan wanita dalam kejadian dan peranan mereka. Terdapat perbezaan fitrah antara lelaki dengan wanita. Ada yang dibezakan dalam tugas menjaga dan mendidik anak-anak pada peringkat permulaan dan belaian lembut yang ada pada wanita sahaja, namun ada juga peranan yang disamakan antara kedua-dua lelaki dan wanita.

Maka, konsep persamaan lelaki dan wanita dalam segala aspek yang dibawa oleh Barat berbeza dengan Islam. Islam membawa konsep keadilan yang meletakkan sesuatu pada tempatnya mengikut keadaan perbezaan fitrah.

Kita sedang menyaksikan kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat disebabkan oleh pendidikan kerana terpengaruh dengan teori Barat yang melanggar fitrah atas prinsip persamaan, bukan keadilan, termasuk aspek-aspek yang lain dalam politik, kehakiman, ekonomi, dan sosial.

Di sana ada perkara baharu yang tidak ada nas, maka dibebaskan untuk memberikan pendapat dalam dasar umum dan tetap berada dalam sempadan Allah, seperti hukum halal dan haram serta keperluan hidup yang sentiasa berubah-ubah.

Walau bagaimanapun, Allah meletakkan sempadan. Semua perkara yang berfaedah dihalalkan, manakala perkara yang mendatangkan mudarat diharamkan berkonsepkan maqasid al-syari‘ah yang luas lapangannya dalam menjaga rukun kehidupan, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, maruah, dan harta. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلۡأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكۡتُوبًا عِندَهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ يَأۡمُرُهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَىٰهُمۡ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَـٰٓئِثَ وَيَضَعُ عَنۡهُمۡ إِصۡرَهُمۡ وَٱلۡأَغۡلَٰلَ ٱلَّتِي كَانَتۡ عَلَيۡهِمۡۚ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٥٧

“(Iaitu) orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi, yang (namanya) mereka dapati tertulis dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma‘ruf dan melarang mereka daripada mengerjakan yang mungkar, dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk, dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka, orang-orang yang beriman kepadanya memuliakannya, menolongnya, dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran); mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [Surah al-A‘raf: 157]

Islam menegaskan konsep keadilan mutlak meletakkan sesuatu pada tempatnya kepada seluruh manusia, yang menjadi amanah yang wajib ditunaikan dalam masyarakat majmuk yang berbeza dan mempunyai kelainan. Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Sehinggakan, diwajibkan juga bersifat adil terhadap musuh yang paling dibenci. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Diwajibkan berperang menentang kezaliman yang melampau, dengan syarat tidak melampau. Firman Allah SWT:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Islam lebih mengutamakan perdamaian, walaupun terhadap musuh yang sedang menceroboh dan melampau. Firman Allah SWT:

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61–63]

Islam pula berkonsepkan tidak ada paksaan terhadap orang bukan Islam, kerana Islam mewajibkan ikhlas kerana Allah SWT. Firman-Nya:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ … ٢٥٦

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)…” [Surah al-Baqarah: 256]

Paksaan hanya membawa sifat munafiq yang tidak sah keimanan dan keislamannya di sisi Allah.

Konsep mendahulukan perdamaian, adil kepada semua, dan tidak ada paksaan dalam agama menyebabkan kedatangan Islam dalam semua negara dan bangsa dianggap bukan menjajah dan memperhambakan sesama manusia, tetapi menjadi penyelamat manusia daripada kezaliman dan salah laku sesama manusia, khususnya oleh pemerintah terhadap makhluk yang lemah, meletakkan diri mereka mengatasi perlembagaan dan undang-undang negara kerana melakukan dosa syirik yang menjadi punca kepada semua kezaliman.

Firman Allah SWT:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Begitulah para pemerintah yang dipisahkan daripada agama berlagak menjadi tuhan yang memperhambakan rakyat dalam seluruh kehidupan.

Pelaksanaan Islam pada zaman Islam berdaulat memerintah negara membuktikan kejayaannya, termasuk pengaruh Tamadun Islam yang menyelamatkan dunia Barat daripada kejahilan ilmu dunia kerana mereka memisahkan urusan agama daripada urusan dunia.

Kelemahan umat Islam sendiri yang meninggalkan Islam, seterusnya membawa perpecahan menyebabkan dunia Islam dijajah.

Firman Allah SWT:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦

“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya serta janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gagal dan hilang kekuatanmu, dan bersabarlah. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” [Surah al-Anfal: 46]

Pada masa umat Islam dijajah, banyak kajian para ulama’ Islam diambil bersama hasil buminya yang kaya. Penjajah mengambil ilmu dunia tanpa agama Islam, kerana agama dan ideologi yang lain, kelemahan masing-masing menjadi sebab kegagalan mereka. Ilmu dunia yang diambil tanpa agama Islamnya sedang membakar diri mereka sendiri. Contohnya, berlaku penciptaan senjata pemusnah dalam peperangan dan penggunaan dadah yang merosakkan akhlak. Setelah Islam mencipta mengikut sempadan agama, tiba-tiba Barat mencapai kemajuan ilmu tanpa sempadan dan menjadi melampau.

Apabila umat Islam meninggalkan Islam yang sempurna, ia menjadi sebab kejatuhan umat Islam sehingga dijajah yang merosakkan kehidupan madani (tamadun manusia) kerana keluar daripada fitrahnya (sifat tabiinya). Pengalaman sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh mereka yang mengkaji dengan ikhlas membuktikan kebenaran Islam.

Namun, semua musuh Islam berusaha menghalang Islam kembali semula berdaulat kerana dengki, bukan kerana menegakkan kebenaran. Hal ini berbeza dengan Islam yang membetulkan tamadun yang salah (madani jahiliah) bagi kebaikan seluruh dunia yang menjadi jambatan akhirat.

Namun begitu, ajaran Islam tetap dipelihara oleh Allah. Maka, umat Islam wajib menyelamatkan manusia bersama Islam semula.

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٣٣

“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang Musyrikin tidak menyukai.” [Surah al-Tawbah: 33]

Oleh itu, umat Islam wajib menegakkan semula Islam kepada kuasa yang berdaulat bagi melakukan islah (pembetulan).

Dunia kini telah menyaksikan kemusnahan akibat kelemahan agama dan ideologi yang tidak sempurna mengikut fitrah ketetapan Allah. Setelah kita menyaksikan keruntuhan Blok Timur, kini terserlah permulaan keruntuhan Blok Barat yang kaya-raya.

Malangnya, tanah air umat Islam terus dijajah pemikiran para pemimpin mereka yang memisahkan kiblat ibadat dengan kiblat urusan dunia.

Firman Allah SWT:

… أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥

“…Adakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa-apa yang kamu berbuat.” [Surah al-Baqarah: 85]

Itulah amaran kepada kaum Yahudi, Ahli Kitab Allah yang telah merosakkan dunia dan sedang mengalami keruntuhan supaya menjadi iktibar kepada umat Islam.

Firman Allah SWT kepada umat Islam:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٢٠٩ هَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن يَأۡتِيَهُمُ ٱللَّهُ فِي ظُلَلٖ مِّنَ ٱلۡغَمَامِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ وَقُضِيَ ٱلۡأَمۡرُۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ ٢١٠

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (208) Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (209) Tiada yang mereka nanti-nantikan melainkan datangnya Allah dan malaikat (pada Hari Kiamat) dalam naungan awan dan diputuskanlah perkaranya. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan. (210)” [Surah al-Baqarah: 208–210]

Negara kita baru sahaja mengundang syaitan besar menjadi tetamu dan menari bersama meraikannya.

Banyak negara Arab dan Islam pula menjadi penyumbang besar bagi menyelamatkan negara syaitan itu, sehingga lupa akan umat dan negara sendiri.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 22 Jumada al-Ula 1446 / 13 November 2025

[Bil: 78 / 2025]