KUALA TERENGGANU – Pelantikan YAB Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar terhadap kemampuan kepimpinan anak Terengganu di peringkat nasional.
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzini Ab Rahman berkata, pihaknya berasa terharu dan berbangga dengan pelantikan tersebut memandangkan beliau berasal dari Besut.
Menurutnya, kejayaan dan rekod pentadbiran Dr Sam sebagai Menteri Besar Terengganu menjadi antara indikator utama yang meyakinkan rakan serta lawan politik terhadap keupayaan beliau menerajui gabungan berkenaan.
“Prestasi yang ditunjukkan di peringkat negeri membuktikan kemampuan anak Terengganu memimpin di pentas lebih besar, sekali gus mengangkat nama negeri ini,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut berharap pelantikan Pengerusi daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu mampu mencorakkan dimensi baharu dalam PN dan memperkukuhkan lagi kedudukan gabungan berkenaan di peringkat nasional.
Tambahnya, pihaknya juga menaruh harapan agar Dr Sam mampu menjadi ikon kepimpinan negara dan berpotensi diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri ke-11 pada masa akan datang.
“Kami mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan beliau, mengurniakan idea yang bernas dan terus memimpin berteraskan syariat Islam, sekali gus membuktikan PAS mampu mentadbir bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga nasional,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Besut, Cikgu Solahuddin Jaafar berkata, pelantikan ini meredakan desas-desus mengenai siapakah yang akan menerajui PN selepas peletakan jawatan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
YAB Dato Sri Ir Dr. Ahmad Samsuri, yang berpengalaman sebagai Menteri Besar Terengganu selama dua penggal dan kini menjawat jawatan Naib Presiden PAS, dilihat sebagai tokoh teknokrat yang mampu memimpin PN dan membawa perubahan jika diberi mandat rakyat dalam PRU16.
“Pelantikan Dr Sam menunjukkan kesungguhan PN menawarkan tokoh baru untuk masa depan negara, sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia yang sudah bosan dengan permainan politik lama dan isu skandal,” katanya.
Beliau juga menegaskan, pengalaman Dr. Samsuri dalam mentadbir kerajaan negeri dan peranan beliau dalam PAS memberi keyakinan bahawa beliau mampu membawa kemenangan cemerlang dalam PRU16, seterusnya memimpin pentadbiran negara.
Justeru itu, beliau mendoakan agar Allah membimbing Dr Sam dalam memikul tanggungjawab besar ini.




























