Bukit Besi Akan Jadi Milik PAS

302

DUNGUN – Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi yang pernah dimenangi Parti Islam Se-Malaysia(PAS) pada tahun 1969 akan kembali menjadi milik parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke 15(PRU15).

Keyakinan itu disuarakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memandangkan tanda – tanda sokongan yang semakin bertambah kepada parti itu di DUN tersebut.

“Sokongan rakyat tidak putus – putus sehingga generasi muda bertambah jumlahnya, ini amat penting bagi kita untuk mengurus dan yang lebih penting bagi parti di peringkat kawasan dengan kemenangan satu Parlimen dan tiga ‘state(DUN) ‘,

” satu ‘state’ pada bila-bila masa sahaja yang pernah kita menang pada tahun 1969 dan ada tanda-tanda sokongan kita bertambah, yang lebih penting kita ada keyakinan untuk lebih berjaya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu PAS Kawasan Dungun di sini pada 26 Mei lalu.

Majlis sempena Sambutan Ulangtahun 70 Tahun PAS Peringkat Kawasan Dungun dan turut dihadiri Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Haji Hussin Awang, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat dan Yang Dipertuan PAS Kawasan itu, Wan Hassan Mohd Ramli.

Menurut Tuan Guru, pembinaan bangunan baharu membuktikan PAS Kawasan Dungun terus menunjukkan kemajuan.

Katanya, PAS Dungun bukan sahaja tempat bertapaknya PAS Terengganu malah menjadikan negeri yang mula-mula menang dalam Pilihan Raya 1959 di Malaysia sebelum Kelantan.

“Dungun juga salah satu tonggak kita(PAS) menguasai Dewan Undangan Negeri(DUN) dan Parlimen sehingga tahun 1964 setelah kekalahan PAS akibat lompat parti tahun 1961.

” Kita mempertahankan kawasan Dungun pada 1964, masa itu kawasan Hulu Dungun, DUN kita masih boleh menang, 1969 kita tawan balik ‘state’ dan Parlimen termasuk Marang adalah ‘state’ dalam Kawasan Dungun, kita tidak ada kerusi tahun 1979 sahaja,

“Lepas itu kita terus ada kerusi di kawasan Dungun menunjukkan kita ada ketahanan di sini dan menjadi asas kekuatan PAS,” katanya yang bersyukur dapat menyertai majlis tersebut setelah bersama menyaksikan pembinaan bangunan lama 30 tahun lepas.