Bukan Mudah Untuk PAS ‘Bertahaluf’

159

MARANG – Keputusan PAS untuk bertahaluf (bekerjasama) dengan parti-parti politik di Malaysia bukan suatu yang mudah, perbincangan demi perbincangan diadakan sehingga satu kesepakatan diambil.

Pengerusi Sidang AS-Sabiqun PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menjelaskan, dalam PAS tingkat yang paling tinggi memutuskan sesuatu perkara ialah Majlis Syura Ulama.

“Kita dulu hendak bertahaluf dengan Pakatan Rakyat, DAP dan PKR maka Majlis Syura Ulama bersidang bukan sahaja di Malaysia malah sehingga keluar negeri menemui ulama-ulama tersohor di dunia di UK (United Kingdom) , Perancis dan lain-lain lagi,

“minta pandangan apakah boleh PAS untuk ber’tahaluf siyasi’ dengan parti-parti yang ingin bekerjasama, akhirnya kita mendapat pandangan dari mereka, barulah kita buat keputusan, ” terangnya.

Mantan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu menyatakan demikian pada program Taujihad Musyidul Am sempena Himpunan As-Sabiqun 2.0 di Rusila dekat sini pada 4 Mac.

Tetapi tambah beliau, setelah mereka berasa kuat, rasa berpengaruh mereka mula serang PAS dan tidak menyetujui dasar-dasar Islam.

“Maka Dewan Ulama PAS Pusat dalam muktamar memutuskan tahaluf tersebut dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama.

“Begitu juga ‘tahaluf siyasi’ dengan Umno bukan mudah – mudah, memakan masa walaupun Umno berpuluh tahun memusuhi PAS tapi kita bersetuju untuk bertahaluf, walaupun akhirnya Umno mengkhianati.

“Akhirnya Umno telah mengkhianati kita dengan mereka pula sanggup bersengkokol dengan Dap dan sanggup melanggar keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) mereka ‘no Anwar’ , ‘no Dap’,” ujarnya.