Boleh Ke PAS Nak Tadbir Negeri Dengan Duit Tabung Buloh?

7496

Mentadbir bermakna menguruskan sumber hasil negeri atau negara dengan amanah, telus dan berintegriti serta mengagihkannya kepada yang berhak.

Sumber hasil negeri Terengganu dari tabung buloh ke? Kalau tabung buloh saja merupakan sumber hasil negeri Terengganu maka pandailah kita buat nanti!

Tapi hakikatnya negeri kita ada tanah yang subur, pesisir pantai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia kira-kira 240 km dari Kemaman hingga ke Besut, hasil minyak dan gas, keindahan alam semulajadi, pulau-pulau yang memukau permandangannya, Tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, sumber galian hasil bumi seperti silica dan biji besi, sungai-sungai yang panjang, air terjun dan hutan lipur, hasil hutan serta pelbagai lagi sumber hasil negeri yang mampu diterokai bagi menjana pendapatan.

Antara tanggungjawab sebuah pemerintahan ialah untuk mencari sumber dan menguruskan perbelanjaan.

Soalan pertama yang perlu difikirkan ialah apakah Kerajaan Terengganu yang ada berjaya dalam menjana pendapatan negeri? Jawabnya tidak kerana Terengganu hanya bergantung kepada dana khas dari kerajaan pusat yang sebenarnya merupakan duit royalti minyak yang dirampas. Dana khas inilah meyumbang kepada hampir 80% dari sumber negeri. Sumber lain sangat sedikit. Di mana Terengganu tanpa dana khas ini?

Soalan kedua, apakah bajet 2 bilion setahun mampu diuruskan dengan baik? Saya serahkan kepada khalayak untuk menilainya. KDNK negeri kita bagi tahun 2016 berada di kedudukan ketiga terbawah dengan kadar hanya 3.1% berbanding Kelantan dengan bajet hanya 600 juta lebih mampu berada di kedudukan ketiga teratas dengan kadar 4.8%. Kadar kemiskinan Terengganu berada di kedudukan keempat paling miskin dalam Malaysia berbanding Kelantan di kedudukan keenam.

Walau memiliki pesisir pantai terpanjang di Semenanjung Malaysia tapi pusat pendaratan ikan serta hasil laut terbesar di Malaysia ialah Tok Bali, Kelantan. Penerbangan ke Kuala Terengganu yang memiliki lapangan terbang besar walau dibina dengan duit negeri hanya 7 kali sehari berbanding 47 kali sehari di lapangan terbang negeri jiran kita Kelantan.

Tabung buloh ialah manifestasi pengorbanan ahli dan penyokong demi sebuah perjuangan yang besar. Kita ada ahli dan penyokong yang berjiwa besar walau dihimpit dengan serba keterbatasan. Inilah akar umbi PAS.

Memasuki Pilihanraya Umum ke 14 dengan pertandingan 3 atau lebih penjuru, parti yang paling tenang dan bersedia ialah parti yang memiliki akar umbi yang kukuh, tegar dan sanggup berkorban.

Dr Azman Ibrahim