Bersiap Untuk Tadbir Negara

18

BESUT –Jentera PAS di setiap peringkat diseru agar memperkukuh komitmen dalam mentadbir negeri, sekaligus bersiap sedia untuk mentadbir negara pentadbiran negara.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, menegaskan bahawa cinta kepada perjuangan bukan sekadar laungan semangat, sebaliknya menuntut disiplin tinggi melalui kehadiran aktif, pembacaan mendalam serta tindakan berstrategi.

“Sejarah dan data penting perlu dihadam dengan tepat agar menjadi tenaga penggerak, momentum kemenangan PAS mesti diterjemahkan melalui kerja yang konsisten, terancang dan berakauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam satu perjumpaan yang diadakan di Kompleks Sayyidatina Khadijah (KOMSIK) di sini semalam.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan PAS tidak pernah mudah, namun semangat kesungguhan yang ditunjukkan sejak dahulu membolehkan parti itu mencapai kejayaan mentadbir negeri dengan penuh tanggungjawab.

“Kita pernah berada dalam keadaan serba kekurangan, tetapi kita tetap mara. Apa yang penting ialah kesungguhan dan tekad untuk mentadbir dengan adil, berprinsip serta bersedia mengambil langkah seterusnya di peringkat negara,” ujarnya lagi.

Nurkhuzaini turut mengingatkan bahawa PAS pernah melalui fasa kekurangan dari segi sumber dan kemampuan, namun kesungguhan dan keikhlasan ahli-ahli menjadi kunci kepada kejayaan mentadbir negeri hari ini.

“Yang penting ialah kesungguhan, dari situ lahir kekuatan untuk mentadbir negeri, dan kini kita perlu bersiap melangkah ke peringkat negara,” tegasnya.