Berita Mengelirukan: Pemuda PAS Lapor Polis

202

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) membuat laporan polis terhadap satu berita mengelirukan yang menimbulkan persepsi buruk terhadap penganjuran Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT).

Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, laporan itu dibuat bagi memberi penegasan terhadap pihak yang menunggang isu terbabit.

“Laporan polis ini dibuat berkenaan tindakan yang tidak sepatutnya dibuat oleh akhbar Harian Metro yang mengeluarkan berita Program HIMPIT dengan gambar yang boleh disalah ertikan sebagai aktiviti keganasan.

“Saya juga ingin sampaikan rasa simpati kepada polis apabila menambah kes sebegini, namun kami ingin tegaskan bahawa tiada unsur keganasan dan ganmbar itu tidak sepatutnya diletakkan oleh akhbar terbabit.

“Ibarat seolah-olah ada usaha mengaitkan kami (DPPNT) dengan penganjuran yang jauh dengan tujuan asal HIMPIT itu sendiri,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu malam Selasa, 20 Februari. .

Turut hadir Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh.

Irsyad turut berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis bagi menangani kes tersebut.

“Kami tuntut dilakukan permohonan maaf secara terbuka, sebagaimana gambar itu disiarkan secara terbuka,” tambahnya.

Kes terbabit dirujuk berdasarkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.