Beri Tanah Tingkat Keyakinan Rakyat

154

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS berjaya meningkatkan keyakinan bahawa semua rakyat berhak mendapat keadilan dengan pelaksanaan manifesto, memberi tanah kepada mereka yang layak.

Menurut seorang penduduk DUN Ratau Abang, Ramli Sulaiman, 72, ia menjadi penanda aras baru yang sebelum ini tidak mereka kecapi.

Katanya, PAS telah menunjukkan satu bukti dalam menyelesaikan masalah rakyat di bawah pentadbirannya.

“Kalau dulu kalau rakyat marhaen, bukan sesiapa dalam masyarakat, mereka tidak berpeluang memiliki tanah seperti sekarang walaupun sudah membanting tulang membersihkan tanah tersebut, bukan tidak memohon tetapi kerajaan masa itu tidak ambil pedulipun, sehinggalah mereka mati, ” ujarnya panjang lebar.

” Tetapi kerajaan PAS telah mengubahnya tanggapan rakyat, sesiapa sahaja yang layak, dia usaha, insya-Allah boleh menjadi hak dia, ” kata beliau yang menemani isterinya menerima dokumen hakmilik tapak rumah.

Ramli Sulaiman

Beliau ditemui di Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok(RTB) DUN Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini pada 31 Januari lalu.

Seorang lagi peserta RTB Tanah Terkilan, Rusnani Ali, 53 melahirkan rasa gembiranya tanah yang sepatutnya menjadi miliknya 18 tahun lalu, telah dikembalikan.

“Semasa PAS memerintah pada 1999, saya dapat lot tanah di Kampung Alor Mak Bah, saya sudah bayar upah ukur sebanyak lebih kurang RM500 lebih, resit dan surat – suratnya masih ada saya simpan,

” Bila BN menang tahun 2004, saya pergi Pejabat Tanah, tapi saya menerima jawapan yang sungguh mengecewakan, hak saya telah dirampas, walaupun saya berulang kali, sehingga saya pasrah,


” Tetapi bila PAS menang Pilihan Raya Umum Ke-14, harapan saya berbunga balik, jadi saya berulang alik semula ke Pejabat Tanah dan Alhamdulillah dengan usaha ADUN PAS, YB Cikgu Alias, saya dapat balik tanah tersebut walaupun di tempat lain,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun memberitahu pada majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu, seramai 238 orang peserta RTB menerima geran dan Borang 5A.

“Ia itu seramai 72 orang peserta RTB Tapak Rumah Kampung Wa Sejahtera, 70 orang peserta terkilan RTB PERTANIAN Alor Mak Bah yang diganti dengan RTB Pertanian Bukit Senyamuk yang menerima Borang 5A,

” Manakala 96 orang peserta daripada pelbagai RTB menerima dokumen hakmilik tanah,” katanya.